PDRM pertimbang cuti Aidilfitri pegawai, anggota

Abdul Rahim Jaafar
Abdul Rahim Jaafar
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mempertimbangkan untuk membenarkan anggota dan pegawainya mengambil cuti secara bergilir-gilir sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, bagaimanapun cadangan cuti bergilir-gilir itu masih lagi dalam penelitian dan perbincangan khusus sebelum perkara berkenaan diputuskan.

Menurutnya, pihaknya juga tidak menolak untuk menggunakan sistem penggiliran seperti sebelum ini yang membenarkan hanya peratus 10 anggota dan pegawai boleh bercuti bagi memastikan pasukan keselamatan itu tidak terjejas dalam melakukan tugas ketika negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

"Jika keadaan semakin baik kemungkinan kita akan beri cuti, namun apa paling penting polis ingin memastikan bahawa pergerakan orang ramai dapat dipantau supaya tidak berlaku pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kalau diberikan cuti pun mereka tidak boleh bergerak ke mana jadi yang itu yang kita akan teliti sama ada kita akan buat sistem macam dulu dengan membenarkan 10 peratus sahaja," katanya.

Abdul Rahim berkata demikian ditemui pemberita selepas lawatan ke sekatan jalan raya di Sungai Putat di sini awal pagi tadi.

Abdul Rahim (kiri) memberikan kata-kata motivasi kepada anggota yang bertugas di sekatan jalan raya Paya Rumput, awal pagi tadi.
Abdul Rahim (kiri) memberikan kata-kata motivasi kepada anggota yang bertugas di sekatan jalan raya Paya Rumput, awal pagi tadi.

Terdahulu, lawatan yang diiringi Ketua Polis Negeri, Datuk Mat Kasim Karim berkesempatan melawat sekatan jalan raya di Plaza Tol Simpang Ampat Alor Gajah dan Paya Rumput sebelum bersahur bersama anggota polis serta tentera di sekatan jalan raya Sungai Putat di sini.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diberi cuti rehat dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi selain khidmat kaunseling bagi memulihkan semangat mereka berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, PDRM akan meningkatkan lagi rondaan dan pemantau susulan pengurangan sekatan jalan raya di seluruh negara bermula kelmarin.

Menurutnya, tumpuan dan pemantauan akan terus dilakukan terutama di laluan tikus yang menjadi laluan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) sama ada mahu masuk atau keluar dari negara ini.

"Seperti Melaka, negeri yang bersempadan Indonesia jadi kita bimbang akan ada kemasukan warga asing dari negara itu, jadi penugasan sekatan jalan raya serta pemantauan akan banyak dibuat di laluan tikus sepanjang jalan pantai negeri ini," katanya.