JHEAT terkilan dakwaan aniaya wanita

Wanita berkenaan memuat naik status di Facebook mendakwa dianiaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bahagian Penguatkuasaan berkaitan kes khalwat.
Wanita berkenaan memuat naik status di Facebook mendakwa dianiaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bahagian Penguatkuasaan berkaitan kes khalwat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bahagian Penguatkuasaan menolak dakwaan penyebaran berita yang mendakwa jabatan berkenaan menganiayai seorang wanita berusia 30 tahun dengan tuduhan berkhalwat dengan adik angkatnya berusia 28 tahun di rumah di daerah Besut.

Wanita yang masih berstatus isteri orang itu memuat naik status melalui akaun Facebooknya sejak pagi kelmarin mendakwa dituduh berkhalwat dengan lelaki yang didakwa adik angkat kepada keluarga berkenaan sedangkan ketika kejadian terdapat suami dan kakaknya serta empat kanak-kanak termasuk dua anaknya.

Mengakui sedia maklum dengan status dimuat naik wanita tersebut, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah JHEAT, Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya terkilan apabila khabar angin itu disebarkan sedangkan pihaknya melakukan serbuan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) JHEAT dan penahanan itu dilakukan selepas mengambil kira pelbagai faktor.

"Saya sahkan memang kita ada melakukan serbuan di sebuah rumah di Besut kira-kira jam 11.20 malam hasil aduan dan risikan dijalankan terdapat seorang lelaki yang kerap keluar masuk di rumah tersebut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan orang termasuk empat kanak-kanak di dalam rumah berkenaan.

"Dalam serbuan itu, kita menahan dua wanita yang juga pasangan adik-beradik dan seorang lelaki yang didakwa adik angkat kepada dua beradik itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mohd Adnan berkata, pihaknya sedia maklum penahanan itu bakal menimbulkan pelbagai reaksi memandangkan suami wanita terbabit turut berada di rumah sama selain terdapat kakaknya yang berusia 40-an.

"Wanita dan adik angkat itu ditahan atas kesalahan khalwat manakala kakak kepada wanita terbabit pula ditahan kerana bersubahat.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak nafikan suaminya ada di rumah berkenaan dan mereka mendakwa lelaki terbabit anak angkat kepada keluarga mereka namun ia tetap menjadi kesalahan kerana mereka bukan mahram apatah lagi suami wanita terbabit sedang sakit," katanya.

Dalam hal ini, Mohd Adnan berkata, masyarakat tidak boleh menganggap ia tidak menjadi kesalahan sekiranya di dalam rumah berkenaan terdapat ahli keluarga yang ramai.

Katanya, apabila terdapat lelaki yang bukan mahram, ia juga menimbulkan syak yang menjadi kesalahan.

"Dalam kes ini, JHEAT sudah membuat risikan sebelum mengambil tindakan dan bukannya sewenang-wenangnya mengambil tindakan sedemikian.

"Kes ini masih dalam siasatan dan kita harap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi kerana serbuan dilakukan selepas menjalankan risikan.

"Kes disiasat Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu khalwat dan Seksyen 55 enakmen sama kerana penyubahatan," katanya.