X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan United tekad cipta sejarah

Zahasmi Ismail. Foto: Kelantan United Football Club
A
A

KELANTAN United mahu meraih keputusan positif dalam baki tujuh perlawanan Liga Premier bagi mengintai slot ke saingan Piala Malaysia dijangka bermula Oktober depan.

Ketua Jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail menuntut aksi terbaik daripada barisan pemain agar tidak keciciran mata sepanjang saingan, selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merombak format Liga Premier kepada saingan separuh liga sahaja.

Kelantan United yang membuat penampilan sulung dalam kempen Liga Premier musim ini mempamerkan aksi konsisten pada empat perlawanan awal musim, mengumpul sembilan mata daripada tiga kemenangan dan satu kekalahan.

“Kalau kita dapat beraksi balik bulan September ini, kita ada tujuh perlawanan sahaja untuk liga dan bukan mudah sebenarnya untuk pasukan mengekalkan prestasi dalam situasi sekarang.

“Sekarang, Kelantan United di tangga kedua, dan lima teratas liga tidak termasuk pasukan simpanan layak ke Piala Malaysia, jadi tidak mustahil untuk kami rebut peluang itu, hanya perlu mengawasi pasukan seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang masih mengikuti rapat,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Dalam pada itu, Zahasmi menyifatkan wabak Covid-19 yang berlaku ketika ini memberi cabaran kepada kerjayanya selaku jurulatih kerana perlu memastikan tahap kecergasan pemain terus konsisten walaupun tanpa latihan di padang.

Katanya, setiap pemain perlu memastikan tempoh tiga bulan digunakan sebaik mungkin untuk menjalani latihan ringan di rumah bagi mengekalkan kecergasan, sebelum semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) kembali berlatih pada Ogos, jika mendapat kelulusan kerajaan.

“Memang susah sebenarnya kerana sudah terlalu lama kami tidak ke padang berlatih, dan saya juga kena sentiasa peka dan mengambil tahu perkembangan setiap pemain.

“Cabaran utama apabila mereka kembali ke padang bulan Ogos nanti adalah bagaimana untuk mendapatkan aura perlawanan sebelum mula beraksi pada September,” katanya

Terengganu II masih mengungguli carta Liga Premier dengan jumlah 12 mata selepas empat perlawanan, diikuti Kelantan United, manakala Pulau Pinang dan Kuala Lumpur masing-masing berada di tangga ketiga dan keempat dengan lapan mata.

MFL baru-baru ini memutuskan untuk meneruskan pertandingan Liga Super dan Liga Premier secara separuh liga bermula 1 hingga 27 September, diikuti kempen Piala Malaysia pada 17 Oktober hingga 7 November, manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran pula dibatalkan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!