Jakel nafi segala tuduhan dilemparkan

Datuk Mohamed Faroz
Datuk Mohamed Faroz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel menafikan syarikatnya menghina orang Melayu dan bersifat perkauman selain mendakwa tuduhan itu berunsur sabotaj bagi merosakkan imej perniagaannya.

Menurutnya, pihaknya turut menafikan tuduhan lain termasuk syarikatnya menyalurkan bantuan RM800,000 kepada Setiausaha Politik bekas Menteri Pertahanan, Mohammad Sabu.

“Penularan gambar serbuan ke atas syarikat kami kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit juga palsu. Gambar tersebut adalah kejadian pada tahun 2018 dan kesemua pekerja Jakel diambil secara sah melalui undang-undang.

“Bantuan RM800,000 yang tular di media sosial juga fitnah terhadap Jakel pada tahun 2018 yang dibangkitkan semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, syarikatnya juga tidak terlibat dengan pemilik akaun Facebook Nor Lizah dan Datuk Sri Muzaffar termasuk akaun palsu yang menggunakan logo dan nama Jakel secara tidak sah.

“Sebarang kenyataan bersifat menghina dan berbaur perkauman tidak ada kaitan dengan syarikat Jakel dan ahli keluarga Jakel.

“Pihak Jakel menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan fitnah tersebut,” kata beliau.

Beberapa hari lalu Jakel menjadi perhatian umum susulan tindakan adik Mohamed Faroz iaitu Muzaffar Jakel yang didakwa memperlekehkan orang Melayu selepas ada netizen yang mempertikaikan tindakan gedung pakaian itu kembali beroperasi pada 4 Mei lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Faroz telah pun memohon maaf atas salah faham yang berlaku.