Pulau Pinang umum Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 bernilai RM76 juta bagi memperkukuhkan ekonomi selepas berhadapan impak penularan koronavirus (Covid-19).

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pakej rangsangan ekonomi negeri kedua ini memfokuskan bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan, mengupayakan golongan pekerja dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti.

Selain itu, pakej berkenan turut bermatlamat membolehkan kelangsungan perniagaan di negeri ini bagi memastikan ekonomi negeri terus dibangunkan pada pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 menjadikan jumlah keseluruhan pakej bantuan insentif kerajaan negeri setakat ini sebanyak RM151 juta yang telah dan bakal dimanfaatkan,"katanya pada sidang akhbardi pejabatnya di sini hari ni.

Kon Yeow berkata, antara yang diberikan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 ialah rebat cukai taksiran melibatkan hampir 600,000 unit hartanah dan penjimatan lebih RM47.3 juta kepada pembayar cukai.

Selain itu, bantuan tunai kepada penjaja dalam premis dan penjaja bergerak turut diberikan sebanyak RM500 yang melibatkan 8,769 orang dengan jumlah kos yang ditanggung kerajaan negeri ialah RM4.38 juta.

"Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga bakal memperuntukkan RM5 juta antaranya bantuan khas kepada guru agama dan guru tahfiz serta golongan memerlukan.

"Bantuan kali ini turut akan disalurkan kepada nelayan dan penternak tradisional dengan memberikan bantuan tunai RM400 kepada 5,841 nelayan pesisir pantai (Zon A), dan bantuan kotak insulasi bernilai RM180 setiap satu kepada 250 nelayan darat dan sungai,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow berkata, kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM200,147 untuk memberi pelbagai bantuan kepada seramai 988 penternak tradisional komoditi unggas, ruminan dan khinzir.

Katanya, jumlah keseluruhan kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri dalam bantuan kepada nelayan dan penternak tradisional ialah RM2.57 juta.

Dalam pada itu beliau berkata, bantuan turut disalurkan kepada taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Beliau berkata, sektor ini sebagai sektor sokongan penting untuk masyarakat Pulau Pinang serta usaha pemberdayaan wanita, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada penguasaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak serta tadika yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM10.37 juta terhadap usaha pemberdayaan sektor pelancongan negeri Pulau Pinang di dalam pakej ini.

Katanya, sebagai tambahan kepada bantuan tunai kepada pemandu pelancong dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0, kerajaan negeri akan memberikan bantuan tunai RM500 kepada 321 pemandu bas,van persiaran, kereta sewa, limosin pelancongan.

Bantuan RM300 turut diberikan kepada 23 pengusaha lancang air (watercraft operator) dan aktiviti pantai di Batu Feringgi.