Rayu kerajaan tanggung kos ujian saringan Covid-19 bagi industri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) merayu kerajaan untuk menanggung kos penuh ujian saringan Covid-19 bagi semua pekerja agar membolehkan lebih ramai pekerja dapat memulakan kerja di tapak pembinaan dan merancakkan semula aktiviti industri.

Presiden REHDA Malaysia, Datuk Ir Soam Heng Choon dan Setiausaha Agung MBAM Eric Yong Shang Ming dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, pada kadar pasaran semasa, kos bagi setiap ujian adalah sekitar RM350 hingga RM650 seorang (bergantung kepada kuantiti).

“Kos tinggi ujian bagi setiap orang itu diterjemahkan kepada jumlah besar yang perlu dibiayai kontraktor, kerana tapak pembinaan biasanya mempunyai beratus-ratus pekerja, oleh itu memberikan kos yang besar kepada syarikat pembinaan selain kos mobilasi lain serta kerugian yang ditanggung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada 18 Mac lalu.

"Penularan virus itu dan impak teruk daripadanya adalah sesuatu yang tidak dijangkakan, dan ia melangkaui daripada kapasiti kewangan kontraktor untuk menanggung kos itu terutamanya apabila kewangan kontraktor telah terjejas akibat daripada pandemik itu.

"Satu lagi kebimbangan yang mereka berharap kerajaan boleh melihatnya dengan segera adalah kapasiti dan kepantasan pengujian Covid-19 bagi semua pekerja pembinaan," kata kenyataan itu.

Mereka juga melahirkan harapan agar kerajaan boleh menimbang alternatif seperti Rapid Test Kit yang lebih pantas, murah dan telah tersedia bagi menampung sejumlah besar pekerja, dengan Ujian Swab PCR dilakukan hanya sekiranya berlaku penularan di tapak pembinaan atau menjalankannya secara berselang atau berpilih.

Selain itu, sekiranya didapati kontrak di tapak pembinaan gagal melaksanakan Prosedur Operasi Tapak (SOPs) seperti garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan menyebabkan penularan Covid-19 di tapak pembinaan, kontraktor terbabit perlu menanggung semua kos untuk membendung penularan.

Sementara itu, MBAM turut menyokong gesaan REHDA Malaysia yang dibuat pada 8 April, 2020 bagi Force Majeure Bill atau Intervensi Perundangan, sama seperti yang telah diperkenalkan di negara-negara lain termasuk Australia, Ireland, Scotland, Hungary, United Kingdom (Akta Coronavirus UK 2020) dan (Akta Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) 2020) Singapura.

Artikel Berkaitan:

"Rang Undang-Undang ini akan melindungi semua pihak berkontrak mengikut undang-undang daripada ligitasi yang tidak perlu dan menyediakan kelegaan sementara bagi perniagaan dan individu yang tidak dapat memenuhi obligasi berkontrak mereka semasa tempoh ini yang di luar kawalan semua pihak.

"Kami meminta kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang itu semasa persidangan Parlimen yang akan datang pada 18 Mac, 2020 dengan kadar segera kerana langkah-langkah sementara ini adalah paling penting semasa tempoh ini untuk melindungi semua pemegang kepentingan termasuk pemaju, pembina dan pembeli,” kata kenyataan itu. - Bernama