Jangan hanya salahkan Rohingya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TIDAK dapat dipastikan apakah puak Rohingya benar-benar membiakkan jenayah di negara ini. Juga tidak diketahui secara sahih berapa ramai yang membuat kacau.

Apa yang pasti ialah kerajaan memang tidak mengiktiraf status pelarian mana-mana kumpulan termasuk Rohingya.

Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, walaupun mereka memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), status mereka tidak diiktiraf. Sebaliknya kumpulan itu diklasifikasikan sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Malaysia tidak menyertai Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, jadi ia tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Ada pun kesediaan dan toleransi kita membenarkan etnik Rohingya tingal di sini – buat sementara – adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan, tidak lebih daripada itu.

Maka puak Rohingya yang diberi kesempatan berada di negara bertuah ini sepatutnya bersyukur dan mematuhi apa juga peraturan yang ditetapkan.

Jangan ada apa-apa niat untuk membuat onar dan menyusahkan orang di sini, jauh sekali untuk menuntut sebarang hak seperti warga tempatan.

Almaklumlah, rakyat negara ini, khasnya orang Melayu, sejak dulu memang terkenal dengan kesabaran dan tolak ansur yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Orang kita tidak tergamak melihat anak-anak kecil terbiar dalam kelaparan, sedaya yang mungkin kanak-kanak itu akan dibantu, seperti yang telah dibuktikan selama ini.

Tidak sampai juga hati kita melihat sesama Islam hidup melarat, tiada tempat tinggal dan dihimpit penderitaan.

Malah, ada ketikanya kita rela menyusukan kera di hutan, walaupun anak sendiri terbiar tidak cukup makan. Demikianlah tingginya tolak ansur kita!

Tetapi seyogia diingat tolak ansur dan kesabaran itu tetap ada hadnya. Jadi tidak kira PATI dari mana, don’t take thing for granted.

Kalau benar ada puak Rohingya yang terlepas laku, membuat kacau dan menuntut hak yang bukan-bukan – seperti yang dihebohkan sehari dua ini – hentikanlah perkara itu, jangan mencari fasal.

Tetapi untuk berlaku adil kita kena pertimbangkan juga apakah hanya PATI etnik Rohingya yang membuat onar. Tidakkah selama ini PATI dari tempat lain juga banyak melakukan jenayah?

Kita ada mungkin berjuta-juta PATI yang saban hari menyusup ke negara bertuah ini menerusi sekian banyak lorong tikus.

Angka-angka menunjukkan sehingga Mac 2020 terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR tinggal secara sementara di Malaysia dan daripada jumlah itu, 56.6 peratus atau 101,584 orang adalah daripada etnik Rohingya.

Sementara prejudis dan tumpuan kemarahan kita sehari dua ini adalah terhadap Rohingya, fikirkan juga berjuta lagi PATI lain yang sejak sekian lama telah menyumbang kepada peningkatan jenayah di sekeliling kita.

Ada PATI tidak menuntut hak, tetapi diam-diam telah mencuri tanah kita. Mereka mulanya mendirikan pondok di tanah tidak berpenghuni.

Daripada satu pondok tumbuh pula pondok lain, kemudian dirikan rumah, membuat perkampungan sendiri sehingga menyusahkan orang tempatan.

Penduduk tempatan yang berasa tidak senang dengan pondok dan rumah-rumah PATI ini telah mengadu kepada pihak berkuasa, tetapi tidak ada sebarang tindakan.

Akhirnya apabila sudah terlalu banyak pondok dan rumah didirikan secara haram dan meresahkan penduduk tempatan, barulah pihak berkuasa terhegeh-hegeh hendak merobohkan.

Selalu timbul persoalam mengapa pihak berkuasa lambat bertindak dan seolah-olah menutup mata terhadap kerakusan PATI meneroka tanah. Rasuah yang berleluasa telah menyusahkan penduduk tempatan.

Harap-harap pentadbiran baharu sekarang tidak rasuah dan selalu tegas. Mana-mana PATI – termasuk Rohingya – yang tidak betul kena diambil tindakan tegas, jangan beri muka!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah