Sombong manusia kerana ciptaan

A
A

SEEKOR burung tiong atau dikenali sebagai ‘Javan Mynah’ telah mencetuskan keriuhan pada penerbangan Singapore Airlines SQ 322 dari Singapura ke London pada 7 Januari lalu.

Burung tiong itu ‘ditangkap’ kerana `menaiki pesawat kelas perniagaan bernilai S$5,969 (RM18,116.28). Burung tiong tersebut hanya ditemui selepas 12 jam dalam pesawat tersebut, iaitu dua jam lagi mahu tiba di London.

Tahun lalu, seekor burung menaiki pesawat secara percuma dari Doha ke Bangkok, Thailand. Pada 2017, seekor burung kelicap telah memaksa pesawat Delta Airlines dari Detroit ke Atlanta, berpatah semula.

Setelah mendarat, kakitangan lapangan terbang gagal menemui burung tersebut. Bagaimanapun, setelah terbang semula, kapten sekali lagi terpaksa melakukan pendaratan di Detroit selepas burung tersebut terbang berkeliaran di dalam pesawat berkenaan.

Dalam senario yang berbeza, robot Artificial Intellegence (AI) telah melakukan demonstrasi membuat omelette di Singapura. Kajian terbaharu pula mendapati robot AI lebih pantas mengenal pasti sesuatu penyakit, mengalahkan pakar bertahun lamanya dalam sesuatu bidang. Malah, robot AI sudah pun diramalkan bakal mengubah rupa bentuk bidang perubatan dalam masa terdekat.

Terbaharu di Amerika Syarikat, majalah tabloid Advanced Industrial Science and Technology bertarikh 12 Januari 2019 menyatakan jurutera robotik telah berjaya membangunkan ‘humanoid robot-HRP-5P’ setinggi 182 sentimeter, berat 101 kg yang mampu menjalankan kerja berat, kasar dan tahan lasak seperti pada persekitaran berbahaya.

Namun, sehebat mana sekalipun ciptaan manusia, ia tetap ada kelemahan. Sesuai dengan darjat manusia yang bersifat hamba dan sementara. Ciptaan ALLAH lebih kekal dan tiada cacat celanya. Terbukti, manusia mencipta pesawat yang mampu terbang dari Singapura ke London. Begitu pun, ia tetap tidak mampu menandingi seekor burung tiong yang dicipta ALLAH.

ALLAH mencipta manusia yang mempunyai kebijaksanaan dan inovasi tinggi untuk mencipta pelbagai teknologi demi kemudahan manusia. Sebagai contoh teknologi pembedahan plastik kosmetik dan rekonstruktif. Hasil kreativiti jurutera perubatan, teknologi pembedahan plastik telah mengalami kemajuan besar seperti bahan-bahan yang disemai (implant) ke dalam badan melalui pembedahan menggunakan bahan alloplastic untuk mengubah tisu lembut atau penampilan lembut.

Daripada kejuruteraan bahan pembedahan plastik, dicipta bahan yang digunakan bagi menghasilkan kulit robot humanoid Sohpia ciptaan Hanson Robotics dari Hong Kong. Ia persis seorang manusia sehingga mendapat kewarganegaraan Arab Saudi. Apa pun, ALLAH melarang manusia membuat perubahan ciptaan-Nya atas tujuan tertentu.

ALLAH telah memberi amaran dengan menyatakan apa yang telah dijanjikan oleh syaitan di dalam Surah An-Nisaa’ [4:118-119] memberi maksud:

“Dan syaitan itu mengatakan: “Aku benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan (untuk aku); Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan ALLAH”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari ALLAH, maka sesungguhnya rugilah mereka dengan kerugian yang terang dan nyata.”

ALLAH telah menjelaskan bahawa ada ciptaan-Nya yang tidak kekal berpanjangan sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Ar-Ruum [30:54] bermaksud:

“ALLAH yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

Menerusi Surah Al-A’raaf [7:116] ALLAH menegaskan: “Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang mereka dilarang mengerjakannya, Kami katakan kepadanya: “Jadilah kamu kera yang hina.”

Jelas sekali, di sebalik kehebatan ciptaan manusia, ia tidak kekal lama dan bersifat lemah. Seharusnya manusia tidak mendabik dada dan bersikap sombong kerana mampu mencipta sesuatu yang kononnya dianggap mahakarya. Walhal manusia itu sendiri adalah berasal daripada ciptaan ALLAH.

Penulis berpendapat manusia harus mencipta sesuatu yang mendatangkan manfaat dan faedah kepada yang lain. Sesuatu ciptaan harus berorientasikan penghambaan kepada ALLAH untuk kehidupan yang akan datang selepas kehidupan dunia kerana ia bersifat kekal.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.