Keuntungan terakru wajar atau tidak?

A
A
A

DI SANA sini ramai orang bercakap tentang moratorium semenjak kerajaan mengumumkannya pada 25 Mac lalu. Pelanggan bank yang terlibat tidak perlu membayar ansuran bulanan pinjaman atau pembiayaan untuk tempoh selama enam bulan bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020.

Dalam konteks perbankan Islam, isu moratorium itu mula menjadi panas apabila dijelaskan sebelum ini bahawa keuntungan terakru sepanjang tempoh enam bulan ‘cuti daripada membayar bayaran ansuran’ tersebut tetap akan dikenakan.

Saya mungkin tidak dapat menghurai panjang dalam ruang yang terhad ini.

Namun apa yang semua orang perlu faham ialah sesebuah bank itu adalah perantara kewangan. Bank mengurus duit pendeposit dan duit pendeposit itu akan digunakan untuk memberi pinjaman atau pembiayaan kepada pelanggannya. Ramai mula bersuara apabila dimaklumkan bahawa perbankan Islam masih dibenarkan mengambil kira keuntungan terakru dalam tempoh enam bulan tersebut. Apa yang mereka mahu ialah perbankan Islam menghapuskan keuntungan terakru dan mereka hanya membayar jumlah ansuran yang sama seperti sebelum moratorium.

Persoalannya, adakah semua bank mampu berbuat begitu? Kita yang tidak terlibat dalam bidang kewangan ini mungkin sukar untuk memahami hakikat sebenar yang dihadapi oleh bank.

Memandangkan setiap bank juga ada tanggungjawab terhadap pendeposit dan pelaburnya dalam tempoh moratorium, pelanggan yang mempunyai akaun pembiayaan dengan mana-mana bank tidak boleh membuat tuntutan yang hanya menjurus kepada kepentingan mereka semata-mata. Mereka bukan berhutang dengan individu yang mengeluarkan duit daripada poket sendiri atau dengan individu yang tidak terikat dengan keperluan tertentu seperti piawai perakaunan.

Pelanggan seharusnya juga mengambil tahu bahawa jika dalam pelaporan kewangannya sesebuah bank tercatat kerugian yang besar, mereka perlu menyediakan jawapan kepada badan penyelia iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) dan setiap catatan dalam pelaporan kewangan itu mempunyai implikasi besar terhadap kebajikan dan reputasi bank berkenaan.

Andainya perbankan Islam diarah untuk menghapuskan keuntungan terakru mereka tanpa mengambil kira sama ada kerugian modifikasi itu besar atau kecil, status aliran tunai mereka akan tergugat dan seterusnya kemungkinan akan menyebabkan perbankan Islam tidak mampu untuk survive. Saya pasti kita tidak rela melihat perkara itu terjadi kepada perbankan Islam.

Artikel Berkaitan:

Saya faham kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang berhutang tetapi mereka juga perlu faham realiti yang dihadapi oleh pihak bank. Jadi, keputusan yang dibuat perlu ada situasi menang-menang. Pelanggan sudah diberi penangguhan tanpa dikenakan ta’widh. Malah mereka diberi ruang untuk berbincang dengan pihak bank bagaimana untuk selesaikan hutang selepas moratorium. Bank sememangnya menanggung kerugian dan bukan semua kerugian boleh diserap oleh bank.

Oleh kerana bank telah bersedia untuk memberikan moratorium kepada kita, adalah adil untuk kita pula memberi ruang kepada bank mengenakan keuntungan terakru demi menjaga masa depan bank untuk terus memberi khidmat terbaik kepada pelanggan-pelanggannya. Sekiranya kita merasakan bahawa keuntungan terakru itu membebankan kita, kita masih ada pilihan untuk tidak mengambil moratorium itu.

Pihak bank pula perlu mengelak daripada menjadikan keuntungan terakru itu berganda-ganda dan semua ini terserah pada kebijaksanaan pihak bank dan jawatankuasa Syariah masing-masing dalam menentukan formula harga pembiayaan baharu dalam proses penstrukturan semula pembiayaan sedia ada.

Jika pihak kerajaan masih mahu mengarahkan pihak bank untuk tidak mengambil keuntungan terakru ini, saya sarankan pihak kerajaan memberi pengecualian cukai kepada bank-bank berkenaan dengan memasukkannya dalam kategori khidmat sosial yang dikecualikan cukai. Akhir kalam, jadikan moratorium ini adil untuk semua pihak. Wallahu a’lam.

Bank sememangnya menanggung kerugian dan bukan semua kerugian boleh diserap oleh bank.”

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah