China gesa AS henti tuding jari

Cui Tiankai
Cui Tiankai
A
A
A

WASHINGTON - Duta China ke Amerika Syarikat (AS) menggesa Washington supaya berhenti menuding jari menyalahkan Beijing berhubung pandemik koronavirus (Covid-19) di bawah respons berprofil tinggi sejak tuduhan itu dilemparkan oleh Presiden Donald Trump.

The Washington Post yang memetik kenyataan Cui Tiankai melaporkan tindakan AS yang berterusan menuduh China menyebabkan penularan wabak itu berisiko menjejaskan dua negara ekonomi terbesar di dunia itu.

Menurutnya, tindakan Washington yang mencurigai Beijing juga boleh memberi kesan kepada kerjasama antara kedua-dua negara untuk memerangi wabak itu dan mengaktifkan semula ekonomi global.

“Sudah tiba masanya segala spekulasi dihentikan. Sudah tiba masanya untuk memberi fokus kepada mencegah virus itu dan membina semula kepercayaan antara kedua-dua negara,” tegasnya.

Sementara itu, Kementerian Luar China menegaskan tarif ke atas produk China tidak wajar dijadikan sebagai ‘senjata’ kononnya untuk menghukum mereka selepas Trump mengancam mengenakan cukai import baharu atas kegagalan Beijing menangani krisis Covid-19.

Sejak beberapa minggu lalu, Trump dan pembantu kanan beliau berulang kali menyalahkan China atas penularan Covid-19 ke seluruh dunia yang telah meragut nyawa lebih ramai rakyat AS berbanding sewaktu Perang Vietnam yang turut mendorong ekonomi negara itu menuju kemelesetan.

Kelmarin, bilionair hartanah itu sekali lagi menggesa China supaya bersikap telus tentang asal usul wabak itu yang telah menyebabkan 250,000 kematian di seluruh dunia sejak ia bermula di bandar Wuhan, wilayah Hubei pada akhir tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Trump menafikan sebarang penglibatan AS dalam insiden serangan dari laut yang didakwa sebagai cubaan untuk menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Artikel Berkaitan:

Beliau membuat kenyataan itu selepas Maduro mendakwa Caracas telah menahan dua rakyat AS yang terlibat dengan seorang veteran tentera Amerika yang mengaku bertanggungjawab atas operasi yang berjaya digagalkan itu. - Agensi