X

Kindly register in order to view this article
!

Wira kita di Laut China Selatan

A
A

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) dan Petronas. Inilah tiga entiti perwira kita yang teguh mempertahankan kepentingan negara kita di Laut China Selatan saat ini. Bagaimanapun, disebabkan beberapa perkiraan geoekonomi dan diplomatik, kisah para perwira kita mungkin kurang ditekankan.

Umum mengetahui bahawa sepanjang beberapa minggu yang lalu kita dikejutkan dengan pelbagai laporan antarabangsa berkenaan situasi semasa perairan kita di Laut China Selatan.

Malah, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga mengeluarkan kenyataan khusus menegaskan bahawa Malaysia tetap mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara di sana.

Sebenarnya, di sebalik segala riuh-rendah ini, ada khabar gembira dari Laut China Selatan buat seluruh rakyat Malaysia. Meskipun diganggu hebat oleh kapal-kapal China, kita semakin hampir untuk mencapai kemenangan selepas hampir lima bulan Petronas menjalankan kerja eksplorasi di sana.

Sejak Disember 2019 lalu, Petronas sebenarnya melalui kapal West Capella yang dikontrak daripada syarikat Seadrill telah menjalankan kerja eksplorasi di dua lapangan minyak dan gas iaitu Arapaima-1 di blok ND1 dan Lala-1 di blok ND2.

Kemenangan pertama kita terhasil pada Mac lalu selepas kita berjaya menyelesaikan kerja eksplorasi di Arapaima-1. Perlu diingat, ketika itu China mengirim kapal raksasa sebesar 4,000 tan iaitu Zhaoduan-class 5305 dan juga kapal pengawal pantai (CCG) Haijing 5202 dan 5203 untuk mengganggu-gugat usaha kita.

Seperti mana laporan Asian Maritime Transparency Initiative (AMTI), tentera kita telah bertindak balas dengan luar biasa apabila mengerahkan KD Jebat sebesar 2,270 tan yang berjaya menghimpit kapal China ke sudut sukar pada Januari 2020.

KD Jebat telah dibantu oleh KD Kelantan serta kapal 45 meter milik Maritim Malaysia iaitu KM Bagan Datuk.

Akibat kegagalan mereka untuk memusnahkan usaha eksplorasi kita di blok Arapaima-1, China telah menghantar pula kapal pemusnah Type 052B Wuhan (169) seperti mana laporan The New York Times. Lalu China meningkatkan gangguan ke atas kapal-kapal kita di blok Lala-1 pula melalui Haiyang Dizhi 8 dan juga kapal pengawal pantai CCG 1105 dan 4203.

Asakan

Tidak hairanlah apabila dengan segera, Amerika Syarikat (AS) telah mengerahkan angkatan armada mereka iaitu kapal penyerang amfibia (LHA 6) USS America, kapal peluru berpandu USS Bunker Hill (CG52), dan pemusnah peluru berpandu USS Barry-DDG 52 ke wilayah kita. Kapal frigat Australia kelas Anzac, HMAS Parramatta, juga dihantar.

Terkini, data menunjukkan kapal TLDM KA Bunga Mas Lima terus memberi sokongan melindungi kapal West Capella yang dikontrak oleh Petronas, meskipun terus diasak hebat oleh gangguan kapal China.

Kita kini semakin hampir dengan kemenangan. Sebaik sahaja eksplorasi Petronas di blok Lala-1 selesai seperti mana yang dijadualkan dalam bulan Mei 2020 ini juga, sejarah akan tercipta bahawa sesungguhnya kita telah berjaya mempertahankan kepentingan nasional kita di Laut China Selatan walaupun cuba diganggu dan dimusnahkan oleh kuasa besar.

Namun begitu, disebabkan perkiraan ekonomi dan diplomatik, pencapaian kita ini tidak terlalu diperbesar-besarkan. Untuk rekod, eksport kita ke China sahaja tidak kurang daripada RM140 bilion dan sawit kita adalah antara yang signifikan. Dalam keadaan kita merancang untuk memulihkan ekonomi segera pasca pandemik Covid-19 nanti, permintaan daripada China tentulah amat kita harapkan.

Sama-sama kita doakan semoga ALLAH terus memelihara para perwira kita yang tidak gentar mempertahankan kedaulatan dan kepentingan nasional kita di Laut China Selatan.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!