Inflasi keseluruhan menurun kepada -0.2 peratus pada Mac: BNM

BNM
BNM
A
A
A

INFLASI keseluruhan menurun kepada -0.2 peratus pada Mac 2020 daripada 1.3 peratus pada Februari 2020, menurut Bank Negara Malaysia.

“Inflasi yang negatif ini mencerminkan penurunan inflasi pengangkutan yang disebabkan oleh harga bahan api runcit yang lebih rendah berikutan harga minyak sedunia yang merosot dengan ketara, “ kata bank pusat itu dalam sorotan bulanannya hari ini.

Ekonomi negara sebelum ini menjadi deflasi dalam tempoh Januari-Februari tahun lepas, kali pertama selepas berlakunya krisis kewangan global pada 2009. Indeks Harga Pengguna (IHP), masing-masing mencatat -0.7 peratus dan -0.4 peratus pada Januari dan Februari 2019.

BNM berkata, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, kekal stabil pada 1.3 peratus.

Katanya, pasaran kewangan domestik mengalami aliran keluar bukan pemastautin sebanyak RM17.7 bilion (AS$4.1 bilion) pada Mac berikutan peningkatan sentimen penghindaran risiko ekoran ketidakpastian yang semakin ketara mengenai tahap betapa teruknya pandemik koronavirus (Covid-19) dan potensi impak kepada ekonomi.

Meskipun langkah rangsangan monetari dan fiskal berskala besar dilaksanakan di seluruh dunia, kegiatan penghindaran risiko global kekal ketara, katanya.

“Hal ini menyebabkan permintaan yang lebih tinggi terhadap aset yang lebih selamat dan mudah cair seperti wang tunai dan sekuriti Perbendaharaan AS. Selain itu, kejatuhan harga minyak dunia yang ketara terus menjejaskan sentimen pasaran kewangan global,” kata BNM.

Kesan daripada perkembangan tersebut, ringgit menyusut nilai berbanding dolar AS sebanyak 1.8 peratus, FBM KLCI merosot sebanyak 8.9 peratus untuk ditutup pada 1,351 mata dan kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 52.9 mata asas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua perkembangan ini sejajar dengan pasaran kewangan serantau. - Bernama