Malaysia bakal mempunyai universiti wakaf

uziah Salleh
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal mempunyai universiti wakaf pertama di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, dua kolej universiti di bawah MAIWP iaitu Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) akan digabungkan menjadi universiti wakaf.

"Sekarang, Picoms dan KPBKL dibiayai oleh MAIWP sebanyak RM52 juta setahun. Ia adalah jumlah yang tinggi yang dibiayai oleh MAIWP melalui peruntukkan zakat fisabilillah.

"Jadi, adalah menjadi harapan kita untuk menggabungkan dua kolej universiti ini menjadi satu institusi yang berkonsepkan universiti wakaf," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil dan diploma di Majlis Konvokesyen Ke-12 KPBKL, di sini, hari ini.

Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 1,390 graduan diraikan dalam majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan Wawasan Menara PGRM.

Hadir sama, Pengerusi Kolej Profesional Baitulmal Sdn Bhd, Datuk Razali Shahabudin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL, Sakaria Semela.

Menurut Fuziah, MAIWP sudah mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk membangunkan universiti berkenaan sebagai usaha memperkasakan konsep wakaf di negara ini.

"Buat masa ini, belum ada lagi (universiti wakaf di Malaysia). Model ini ada di Mesir contoh di Universiti Al-Azhar dan Turki. Jadi, kita ambil ia sebagai model di Malaysia.

"Sebelum universiti wakaf itu dibina, kita sudah boleh menyerapkan dua kolej universiti ini di bawah satu pengurusan. Kedua-dua kolej universiti ini sudah mempunyai bahan antaranya pensijilan dan kepakaran yang diiktiraf daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Jadi, yang tinggal sekarang cuma (kos dan pembinaan) fizikal universiti wakaf itu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Fuziah mengajak umat Islam supaya progresif memperkasakan alternatif wakaf sebagai antara langkah memajukan ummah.

Katanya, negara di barat sudah melangkah ke hadapan dengan memartabatkan tabung endownment.

"Universiti Oxford dan Cambridge menerajui dana endowmen tertinggi di United Kingdom (UK) dengan masing-masing mempunyai 4,245.9 juta pound dan 5,890 juta pound pada 2014. Kebanyakan universiti di UK mempunyai tabung endownment yang berbeza pendapatannya.

"Jika ini menjadi kenyataan, maka universiti mampu beroperasi tanpa kenaikan yuran ketara yang dapat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pelajar dan masyarakat sekali gus dapat menangani kenaikan yuran yang ketara sehingga menimbulkan kegelisahan pelajar dan masyarakat," katanya.- Bernama