Ingat jemaah rupanya pencuri

Kelibat suspek yang mencuri duit tabung masjid berjaya dirakam CCTV.
Kelibat suspek yang mencuri duit tabung masjid berjaya dirakam CCTV.
A
A
A

TANAH MERAH - Berkopiah seperti jemaah masjid, itu taktik seorang pencuri yang memecahkan tiga tabung di Masjid Iktikaf Ismaili di sini.

Lebih mengejutkan suspek memecahkan tiga tabung berkenaan dalam masa 15 minit sahaja.

Penaung Masjid Iktikaf Al Ismaili, Wan Marzuki Wan Abdul Kadir berkata, kejadian yang berlaku Isnin lalu itu disedari ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

Menurutnya, susulan itu, AJK masjid melakukan pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) dan berjaya mengenal pasti wajah suspek.

“Ini merupakan kejadian kedua tabung masjid dipecahkan. Berikutan kejadian sebelum ini kita pasang CCTV.

“Mungkin pada mulanya kita tidak menyedari kehadiran suspek memandangkan dia seperti jemaah yang ingin menunaikan solat,” katanya.

Wan Marzuki berkata, dalam kejadian itu, sebanyak RM300 dilarikan suspek dan pihaknya telah pun membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, berdasarkan laporan dibuat pengadu, suspek berjaya ditahan di rumahnya pada malam Rabu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil ujian urin yang dilakukan mendapati suspek positif dadah.

“Suspek kini ditahan untuk tindakan susulan,” katanya.