Tiada penerbangan AirAsia dari Indonesia ke Malaysia, 18 Mei ini

AirAsia - Foto Bernama
AirAsia - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - AirAsia menafikan akan memulakan penerbangan dari Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru bermula 18 Mei ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Katanya, AirAsia memaklumkan maklumat berkenaan penerbangan berkenaan tidak benar.

"Buat masa sekarang kita masih lagi menutup sempadan negara mengikut polisi bahawa warga asing tidak dibenarkan memasuki negara ini. Saya telah berhubung dengan AirAsia dan mereka menyatakan tidak ada penerbangan dari Indonesia ke Malaysia bermula 18 Mei ini.

"Kebenaran memasuki pintu sempadan hanya untuk rakyat Malaysia. AirAsia cuma boleh membawa pulang rakyat Malaysia daripada luar negara yang terkandas. Mereka perlu mengikut prosedur kuarantin wajib selama 14 hari," katanya.

Jelasnya, AirAsia perlu akur dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan pintu sempadan dibuka.

Sementara itu ditanya mengenai warga asing yang melarikan diri daripada pusat kuarantin Isnin lalu, beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berhubung perkara itu.

"Jika dahulu ada warga asing di bangunan Selangor Mansion melarikan diri dan polis berjaya menjejak dan menangkapnya dan perkara sama akan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan tengok SOP dan semak bagaimana mereka boleh melarikan diri daripada kawasan tersebut. Insya-ALLAH kita akan melihat perkara yang boleh kita perkemas dan perketatkan," katanya.