Lemas 'terbelit' hutang

Nana akui sudah serik untuk guna kad kredit
Nana akui sudah serik untuk guna kad kredit
A
A
A

KUANTAN - “Bayangkan selama hampir empat tahun saya tak boleh buat apa-apa dengan wang gaji setiap bulan. Hampir sebahagian besar terpaksa diguna untuk bayar tunggakan hutang kad kredit dan hutang lain.

“Memang nak menangis bila duit gaji yang boleh pakai untuk perbelanjaan lain tak sampai RM500 setiap bulan. Memang tempoh empat tahun itu amat memeritkan buat saya dan keluarga,” kata Nana,40 (bukan nama sebenar), individu yang terjerat dengan masalah hutang kad kredit gara-gara penggunaan kemudahan itu secara tidak terkawal dan berhemah.

Eksekutif sebuah syarikat swasta itu berkata, pada awalnya dia memohon kad kredit sebagai ‘back up, sekiranya ada keperluan terdesak.

“Saya bukan kaki ‘shopping’ atau peminat barang berjenama dan kad kredit yang ada tidak digunakan untuk tujuan itu.

“Masalah timbul bila kami gunakan kad kredit untuk dapatkan ‘tunai’ kerana duit sentiasa tidak cukup.

‘Boleh dikatakan setiap bulan kami terpaksa gunakan kad kredit untuk beli barangan keperluan memandangkan wang gaji tidak dapat bertahan hingga hujung bulan," katanya.

Dia berkata, gaji dia dan suami hanya cukup untuk perbelanjaan keluarga dan komitmen hutang sedia ada.

“Bila berlaku keadaan tidak terjangka, kereta rosak, cukai jalan tamat atau ada kes kecemasan lain, peruntukan perbelanjaan kami akan tersasar dan kami guna kad kredit untuk 'selesaikannya'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Surat saman dan surat tuntutan hutang yang diterima sebelum ini membuatkan Nana sering bimbang dan tertekan.
Surat saman dan surat tuntutan hutang yang diterima sebelum ini membuatkan Nana sering bimbang dan tertekan.

Jelasnya, beberapa tahu kemudian penggunaan kad sampai hadnya dan dia hanya mampu membayar pada kadar minima sahaja dan tidak terkecuali ada ketika gagal melunaskannya.

“Ketika itu kami mula 'gali lubang tutup lubang' sehinggalah tidak mampu untuk 'menggali dan menutupnya' lagi.

“Memburukkan keadaan, suaminya turut terjerat dengan masalah hutang apabila membuat pinjaman peribadi pada awalnya untuk membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Nana memberitahu, pada walnya mereka dapat bayar pinjaman mengikut tarikh tetapi dengan kemampuan kewangan keluarga yang semakin menghimpit, lama kelamaan hutang itu tertunggak dan tidak mampu lagi untuk bayar walaupun pada kadar minimum.

‘Bermula dari situlah, hidup kami semakin tertekan dengan masalah hutang tak terkawal ini. Bank pun dah mula kejar. Bukan hanya kerana hutang kad kredit sahaja, pinjaman-pinjaman lain pun bermasalah,”katanya.

Tiada pilihan

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia dan suami akhirnya membuat keputusan menamatkan penggunaan kad kredit selepas mendapat nasihat daripada pihak bank dan bersetuju dengan plan penyelesaian yang ditawarkan.

“Ketika itu saya ada lima kad kredit dengan had penggunaan RM10,000 dan semua kad itu melebihi had termasuk faedah dan denda. Suami pula ada dua kad kredit dan satu juga melebihi had.

“Kami tiada pilihan lain kecuali membatalkan penggunaannya walaupun sedar, kami terpaksa membayar hutang itu setiap bulan," katanya.

Menurutnya, mengikut pelan penyelesaian, dia perlu membayar tunggakan hutang kad kredit antara RM200 hingga RM500 setiap kad tidak termasuk hutang kereta, hutang rumah, pinjaman peribadi dan perbelanjaan keperluan keluarga.

“Hampir empat tahun kami terseksa apabila terpaksa membayar hutang ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang termasuk kebimbangan diistiharkan muflis," katanya.

Ekonomi keluarga yang tidak stabil mendorong Nana dan suami berbelanja menggunakan kad kredit.
Ekonomi keluarga yang tidak stabil mendorong Nana dan suami berbelanja menggunakan kad kredit.

Dia dan suami akur dan mengambil peluang tawaran pihak bank bagi menyelesaikan masalah itu bagi mengelak masalah yang lebih besar yang mungkin boleh menjejaskan masa depan keluarga.

‘Bayangkan dalam tempoh itu kami bekerja semata-mata untuk bayar hutang. Memang sedih dan cemburu bila tengok kawan-kawan pergi melancong, beli barang, tukar kereta dan sebagainya. Kami pula terpaksa bergelut dengan hutang yang seolah tiada kesudahan.

“Allhamdulillah, berkat kesabaran, kami dapat lalui keperitan itu biarpun hanya tuhan yang tahu betapa seksanya kehidupan kami,”katanya.

Nana berkata, dalam tempoh empat tahun itu, dia dan suami dapat menyelesaikan hutang kad kredit satu persatu dan sekitar tahun 2016, semua hutang itu berjaya diselesaikan.

“Alhamdulillah, semua hutang kad kredit berjaya diselesaikan tetapi hutang lain tetap ada cuma terkawal dan pembayarannya mengikut jadual dan tiada tunggakan lagi.

“Allhamdulillah, kebetulan ALLAH bagi rezeki bila gaji saya dan suami naik jadi ekonomi keluarga semakin stabil kebelakangan ini,”katanya.

Nana berkata, dia sudah serik untuk memiliki kad kredit dan tidak akan sesekali memohonnya lagi atas apa alasan sekalipun.

“Cumanya hidup zaman sekarang, kita memang tak lepas dengan hutang bila terpaksa membuat pinjaman dan sebagainya.

"Pengalaman ini menjadi iktibar kepada kami untuk berhemah dalam pengurusan kewangan dan berbelanja mengikut kemampuan seadanya,” katanya.