MP Tanjong Manis dilantik Pengerusi CIDB

Yusuf Abdul Wahab
Yusuf Abdul Wahab
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab sebagai pengerusinya yang baharu berkuat kuasa 1 Mei lalu.

CIDB dalam satu kenyataan memaklumkan sebagai pengerusi, Yusuf bertanggungjawab memastikan hala tuju CIDB sebagai sebuah organisasi yang ‘boleh dipercayai’ sejajar dengan fungsinya mengawal selia, membangunkan dan memudahcara industri pembinaan di Malaysia.

Yusuf berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Nebraska-Omaha, Amerika Syarikat dan berpengalaman luas selama 34 tahun dalam bidang kejuruteraan dilantik jawatan tersebut menggantikan Datuk Ir Dr Meor Abdul Aziz Osman.

Beliau yang juga Pengarah Jurutera Perunding Wahba Sdn Bhd pernah menjadi pengarah untuk projek infrastruktur kerajaan dan swasta.

Selain itu, Yusuf ialah ahli badan profesional Lembaga Jurutera Malaysia, Institusi Jurutera Malaysia dan Persatuan Penasihat Jurutera Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut menyandang beberapa jawatan penting termasuklah sebagai Pemegang Amanah di Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rejang, Pengerusi The Paloh Muslim Charitable Trust Fund dan Panel Penasihat Program Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Sarawak.

“Ahli Lembaga, barisan pengurusan dan kakitangan CIDB mengalu-alukan pelantikan Yusuf dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Meor Abdul Aziz atas khidmat bakti beliau sebelum ini,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: