Pengurus syarikat rugi RM20,000 diperdaya 'pegawai Telekom'

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengurus syarikat kerugian RM20,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Telephone Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom semalam.

Mangsa wanita berusia 28 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Telekom dan memberitahu mangsa mempunyai akaun kedua serta mempunyai bil tertunggak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa menafikannya dan panggilan disambungkan pula kepada pegawai polis untuk membuat laporan secara dalam talian.

Menurutnya, selepas mangsa memberikan nombor kad pengenalan untuk semakan, beliau dimaklumkan terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

"Pegawai polis tersebut menyatakan mereka perlu menyiasat akaun bank mangsa dan diminta menyerahkan butiran serta kata laluan untuk semua bank miliknya.

"Mangsa juga diminta menyerahkan nombor pengesahan transaksi (TAC) dan ikut segala arahan polis tersebut atau mangsa diugut akan ditangkap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Kerana takut ditangkap, wanita itu menyerahkan kesemua maklumat yang diminta termasuk nombor TAC tanpa menyedari wang dalam akaun banknya berkurangan sebanyak RM20,000.

Katanya, mangsa yang mula curiga terus membuat semakan dengan pihak polis dan sedar mangsa telah ditipu scammer.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pekerja swasta kerugian RM7,800 selepas terpedaya dengan sindiket penjualan topeng muka yang tidak wujud di laman sosial WeChat semalam.

Beliau berkata, lelaki berusia 38 tahun itu menempah 120 kotak topeng muka bernilai RM7,800 termasuk kos penghantaran.

Mangsa kemudiannya telah membuat transaksi pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek dan dimaklumkan topeng muka itu akan dihantar dalam tempoh masa 13 hingga 15 hari.

Noorzainy berkata, mangsa hanya sedar ditipu setelah topeng muka itu tidak diterima seperti dijanjikan dan suspek gagal dihubungi sebelum tampil untuk membuat laporan polis

"Kedua-dua kes berkenaan kini di siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Setakat ini sebanyak sembilan kes penipuan penjualan topeng muka telah dibuka yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM60,935," katanya.

Orang ramai diminta agar sentiasa berwaspada dan pembeli boleh membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.m/semakmule/ sebelum membuat sebarang pembelian secara dalam talian.