X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan kes saman terhadap Fazura ditangguh pada 18 Jun

FAZURA
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kes saman terhadap pelakon dan penyanyi Fazura yang nama sebenar ialah Nur Fazura Shariffudin berhubung dakwaan melanggar kontrak ditangguhkan pada 18 Jun.

Peguam Nur Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu Bernama bahawa Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh baharu itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara ketika ini.

"Kami menerima panggilan telefon daripada mahkamah memaklumkan keputusan itu, yang pada mulanya dijadualkan untuk disampaikan oleh hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril hari ini,” katanya.

Pada 16 Disember 2017, pemilik Maydan Trading, Narhamdan Abd Malek telah mengemukakan saman dengan menamakan Nur Fazura, 37, sebagai defendan pertama dan Universal Music Sdn Bhd sebagai defendan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Narhamdan selaku plaintif mendakwa pada 10 Ogos 2017 terdapat perjanjian antara beliau dengan Universal Music, supaya Nur Fazura memasarkan produk 'Q Tab', yakni produk kesihatan rambut, kulit dan kuku, dalam bentuk ‘candy’ yang boleh dikunyah; dalam tempoh enam bulan melalui media sosial, khususnya Instagram milik pelakon itu, selain Nur Fazura perlu mengambil gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk berkenaan.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa pada hujung September 2017, Nur Fazura telah melanggar kontrak apabila artis itu telah melancarkan serta memasarkan produk kesihatan dan kecantikan berasingan iaitu 'TRUDOLLY 'TruBeauty', sedangkan beliau masih terikat dengan kontrak bagi pemasaran 'Q Tab'.

Menurut pernyataan tuntutan, keadaan itu mewujudkan persaingan bagi produk ‘Q Tab’ dan oleh kerana pemasaran produk itu diabaika, ia menyebabkan Narhamdan mengalami kerugian.

Plaintif antara lain menuntut pembayaran balik RM156,000 daripada kedua-dua defendan di samping ganti rugi RM141,755.61 kerana pelanggaran kontrak, faedah dan kos.

Fazura dalam penyataan pembelaan difailkan pada 29 Januari 2018 mendakwa beliau tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan plaintif, tidak terikat serta tidak mempunyai sebarang kontrak perjanjian dengan plaintif. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus