Serangan bom kereta di Bogota ragut sembilan nyawa

Sebuah SUV diletupkan di hadapan akademi kadet polis di selatan Bogota, semalam.
Sebuah SUV diletupkan di hadapan akademi kadet polis di selatan Bogota, semalam.
A
A
A

BOGOTA - COLOMBIA. Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh selepas bom kereta diletupkan di ibu kota Colombia, Bogota, semalam.

Serangan kira-kira jam 9.30 pagi (waktu tempatan) di luar sebuah akademi latihan kadet polis di bahagian selatan Bogota itu turut menyebabkan lebih 50 mangsa cedera.

Impak letupan turut memusnahkan tingkap pangsapuri terletak bersebelahan lokasi kejadian.

Menurut saksi, kenderaan yang sarat dengan bahan letupan itu merempuh laman akademi tersebut sebelum berlaku ledakan besar.

Gambar-gambar dipaparkan di media sosial menunjukkan kenderaan tersebut hangus dan dikelilingi oleh sisa runtuhan.

Presiden Colombia Ivan Duque dalam satu kenyataan menyifatkan serangan bom itu sebagai tindakan pengganas, sambil menambah bahawa beliau akan segera kembali ke Bogota selepas menghadiri taklimat keselamatan di barat negara itu.

Beliau juga telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk memburu dalang serangan dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Sehingga kini, tiada pihak tampil mengaku melancarkan serangan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Malah tidak jelas, sama ada mangsa yang terkorban melibatkan orang awam, polis atau kedua-duanya. - Agensi