Penyu bertelur dengan tenang sepanjang PKP

Telur penyu spesis agar yang ditemui. FOTO: Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Telur penyu spesis agar yang ditemui. FOTO: Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
A
A
A

PORT DICKSON - Selain pantai di Terengganu, pantai Port Dickson juga merupakan antara lokasi pendaratan penyu untuk bertelur setiap tahun.

Namun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac sehingga 12 Mei ini boleh dianggap waktu paling tenang untuk penyu bertelur di pantai Port Dickson kerana tiada aktiviti di pantai seperti kebiasaan.

Isnin lalu, sebanyak 118 biji telur penyu spesis agar ditemui dan semalam, 110 biji lagi ditemui di lokasi berbeza.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak telur penyu yang akan dijumpai sepanjang musim bertelur antara Mac sehingga Oktober ini jika pantai Port Dikcson terus tenang seperti tempoh PKP.

“Ramai lagi yang tidak tahu pantai Port Dickson juga merupakan lokasi pendaratan penyu spesis agar dan karah bertelur setiap tahun.

“Cuma kali ini saya rasa penyu lebih tenang dan selamat untuk bertelur kerana pantai Port Dickson jadi lebih sunyi kerana ketiadaan pengunjung disebabkan PKP,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kebiasaannya penyu akan naik bertelur di kawasan sekitar Tanjung Tuan yang diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994.

Namun katanya, disebabkan tiada aktiviti di pantai menyebabkan penyu berani dan lebih bebas ke kawasan pantai yang di luar kebiasaannya untuk bertelur.

Artikel Berkaitan:

“Telur yang dijumpai ini akan diambil jabatan untuk dieram dan ditetaskan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson bagi tujuan pemuliharaannya.

“Jadi saya harap orang ramai tidak mengganggu haiwan marin terancam berkenaan dan tidak mengambil telurnya kerana penyu dilindungi mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985,” katanya.

Halimi berkata, orang ramai yang menjumpai penyu naik bersarang, cedera atau mati diharap dapat maklumkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya.