Masalah laluan banjir bakal selesai

Wan Zaid (tengah) bersama Shaharizukirnain (dua kanan) ketika melawat keadaan jalan dan jambatan di Kampung Seri Bayas.
Wan Zaid (tengah) bersama Shaharizukirnain (dua kanan) ketika melawat keadaan jalan dan jambatan di Kampung Seri Bayas.
A
A
A

SETIU - Masalah jalan perhubungan terputus akibat dinaiki air ketika musim tengkujuh yang sering dihadapi penduduk Kampung Seri Bayas, dekat Hulu Seladang, Bandar Permaisuri di sini, bakal berakhir.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Setiu, Wan Zaid Wan Sulong berkata, kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KKLW) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tujuan menaik taraf jambatan dan jalan raya menghubungkan kampung tersebut dengan Bandar Permaisuri.

Menurutnya, sebuah jambatan baharu sepanjang 100 meter bagi menggantikan jambatan sedia ada akan dibina selain pembinaan jalan raya sepanjang satu kilometer sehingga ke simpang jalan utama yang menghubungkan Kampung Besut ke Bandar Permaisuri.

“Permohonan naik taraf jambatan dan jalan baharu sudah beberapa tahun dipohon tetapi baharu diluluskan kerajaan Pusat pada Disember tahun lepas.

“Sebelum ini perkara itu turut dibangkitkan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir di Parlimen mengenai masalah yang sering dihadapi penduduk,” katanya selepas melawat tapak projek tersebut di Kampung Seri Bayas.

Turut serta, Shaharizukirnain dan Pegawai Penyelaras Dun Permaisuri, Zul Bhari A Rahman.

No Image Caption

Wan Zaid berkata, projek tersebut termasuk membina sistem perparitan dan pembetungan sudah tentu akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk terlibat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jambatan dan jalan raya akan dibina lebih tinggi bagi mengelak ia tenggelam sekiranya berlaku hujan lebat khususnya ketika musim tengkujuh.

“Jambatan baharu ini bagi menggantikan jambatan lama yang diselenggara oleh Pejabat Daerah Setiu. Sekarang dalam peringkat mereka bentuk jambatan dan jalan tersebut manakala projek ini dijangka bermula tahun ini juga,” katanya.

Sebelum ini, setiap kali musim tengkujuh, penduduk Kampung Seri Bayas tidak dapat keluar ke bandar kerana jambatan ditenggelami air berikutan limpahan Sungai Setiu.