PPZ-MAIWP, CIMB Islamic lancar kempen bersama

Ahmad Shukri (kiri), Zulkifli (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff pada Majlis Kolaborasi PPZ-MAIWP Bersama CIMB Islamic Bank Berhad di Kuala Lumpur.
Ahmad Shukri (kiri), Zulkifli (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff pada Majlis Kolaborasi PPZ-MAIWP Bersama CIMB Islamic Bank Berhad di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) melancarkan Kempen ‘Giving Back Earn More To CIMB Preferred Customers’ di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kempen yang berlangsung selama lapan bulan bermula Mei hingga Disember 2020 melibatkan gerak kerja antara pasukan Zakat On Preferred PPZ (ZOP PPZ) dan CIMB Preferred.

Menurutnya, menerusi kempen itu, pasukan ZOP PPZ bersedia untuk memberikan perkhidmatan bagi urusan kiraan, taksiran dan bayaran semua jenis zakat kepada pelanggan CIMB Preferred.

“Pelanggan CIMB Preferred juga secara automatik akan dilindungi dengan Skim Kafalah Muzakki atau dikenali sebagai khairat kematian di mana sekiranya berlaku kematian kepada pembayar zakat, waris boleh menuntut wang khairat kematian daripada PPZ-MAIWP.

“Pelanggan CIMB Preferred yang layak boleh memohon dasar pengembalian semula atau Wakalah untuk diagihkan sendiri kepada asnaf atau menerusi Khaira PPZ (CSR PPZ) bagi membantu menguruskan agihan kepada golongan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama ini yang mana ia adalah sejajar dengan komitmen jangka panjang dalam menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggan CIMB Preferred.

"Melalui kempen ini, pelanggan akan mendapat capaian terus kepada PPZWP untuk proses pembayaran zakat yang lebih mudah, cekap dan teratur.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini dilihat mampu untuk menyumbang kepada kutipan zakat yang lebih tinggi pada masa hadapan," katanya.