Betty Banafe kongsi resipi bubur lambuk istimewa

Bubur Lambuk Banafee
Bubur Lambuk Banafee
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bubur lambuk Johor adalah makanan tradisi yang sering dijadikan juadah ketika berbuka puasa.

Juadah tersebut biasanya dijual di bazar-bazar Ramadan atau diagihkan secara percuma di masjid serta surau tetapi berbeza pada tahun ini kerana ia sukar diperoleh susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Prihatin dengan permintaan masyarakat, pelakon Betty Banafe mengambil inisiatif memasak bubur lambuk yang diberi nama Bubur Lambuk Banafee.

Pemilik rangkaian Restoran Banafee itu berkata, beliau memasak bubur lambuk tersebut menggunakan resipi istimewanya.

“Tidak susah memasak bubur lambuk kerana paling penting tidak kedekut bahan-bahan untuk menjadikannya lebih enak, selain memasaknya dengan kasih sayang,” katanya kepada Sinar Harian di Restoran Banafee Johor Bahru di sini baru-baru ini.

Berkongsi resipi dan cara memasak bubur berkenaan, pelakon drama popular Spa Q itu berkata, untuk menjadikan bubur lambuk enak, ia perlu menggunakan beras siam dan bahan masakan yang segar.

Betty Banafe mengagihkan Bubur Lambuk Banafee kepada orang ramai di Restoran Banafee Village di Johor Bahru sebagai juadah untuk berbuka puasa.
Betty Banafe mengagihkan Bubur Lambuk Banafee kepada orang ramai di Restoran Banafee Village di Johor Bahru sebagai juadah untuk berbuka puasa.

Betty atau nama sebenarnya, Betty Ibtisam Abu Bakar Benafe berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau memasak sebanyak 1,000 pek bubur lambuk untuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

BUBUR LAMBUK

BAHAN UTAMA

1 cawan beras siam

1 sudu rempah kurma

12 cawan air

1 cawan santan

1 helai daun pandan (simpul)

1 sup bunjut Adabi

1 kiub ayam

1 cawan kacang kuda

1 sudu teh lada hitam (kisar halus)

1 cawan sayur campuran (lobak merah, jagung, kacang pis)

2 genggam pucuk paku merah

BAHAN TUMIS

1 batang kayu manis

1 kuntum bunga lawang

5 kuntum bunga cengkih

2 biji buah pelaga

2 batang serai (diketuk)

BAHAN KISAR HALUS

2 labu bawang besar

3 ulas bawang putih

1/2 inci halis

BAHAN SAMPINGAN

Hirisan daun sup

Hirisan daun bawang

Bawang goreng

Telur dadar nipis yang dimayang halus

Serunding daging

Sedikit serbuk lada hitam

CARA MEMASAK

- Kacang kuda direndam semalaman.

- beras dicuci dan ditoskan.

- Satukan bahan kisar halus dengan rempah kurma. Kacau rata sehingga menjadi pes.

- Panaskan minyak di dalam periuk. Tumiskan bahan tumis sehingga naik bau.

- Masukkan pes rempah dan kacau sehingga pecah minyak. Masukkan beras dan gaul rata.

- Tuang air, masukkan daun pandan, sup bunjut, kiub ayam, kacang kuda, dan isi ayam. Kacau rata dan masak sehingga beras kembang menjadi bubur.

- Masukkan sayur campuran, serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.

- Masukkan santan (jika suka cair tambah air)

- Masukkan daun pucuk paku merah. Kacau dan rasa. Sedia untuk dihidang.