Lebih 600,000 mohon rentas negeri

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR- Aplikasi mudah alih Gerak Malaysia telah dimuat turun sebanyak 1.3 juta kali dengan lebih 600,000 permohonan perjalanan antara negeri telah diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak semalam (4 Mei, jam 12 tengah malam), kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata orang ramai juga dinasihatkan untuk log masuk aplikasi itu pada 4, 5 dan 6 Mei, selain memberikan alamat asal dan alamat destinasi yang hendak dituju.

"Mohon kerjasama tuan dan puan untuk membuat permohonan ini dengan kadar segera bagi membolehkan polis membuat perancangan dan mengatur penugasan bagi memudahkan perjalanan mereka pada 7 hingga 10 Mei ini.

"Sebarang maklumat lanjut mengenai aplikasi ini dan permohonan perjalanan antara negeri, orang awam boleh melayari www.gerakmalaysia.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah membenarkan pergerakan antara negeri kepada orang awam yang terkandas di kampung.

Huzir menyeru orang ramai supaya membuat permohonan pergerakan menerusi aplikasi Gerak Malaysia sekiranya mereka ingin pulang ke kediaman masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, bagi penguna IOS, mereka diminta mendaftar permohonan mulai 7 Mei, sebelum memulakan perjalanan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Permohonan pergerakan antara negeri juga boleh dibuat secara manual iaitu pemohon dikehendaki memuat turun ‘Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari laman Facebook PDRM atau boleh mengisinya di balai polis berhampiran melalui temu janji untuk dapatkan kebenaran ketua balai polis berkenaan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata satu sidang media akan diadakan pada pukul 3 petang esok mengenai perkembangan pergerakan antara negeri berkenaan. Ahad lepas, lebih 1.2 juta individu telah memuat turun aplikasi Gerak Malaysia bagi melakukan pergerakan rentas negeri dan daripada jumlah itu sebanyak 503,276 individu telah memohon permit berkenaan sejak 25 April lepas. - BERNAMA