MDEC: E-dagang bakal saksikan pertumbuhan kukuh tahun ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) dijangka akan melonjak pada tahun ini selepas keyakinan pengguna terhadap transaksi digital mula meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Operasi MDEC, Ng Wan Peng, di bawah pelan hala tuju strategik e-dagang kebangsaan, bidang ini dijangka akan mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 20 peratus kepada RM170 bilion pada tahun ini.

"Berdasarkan kepada perubahan tingkah laku pengguna, kami percaya pertumbuhan ini, mungkin lebih tinggi. Walaupun selepas PKP, sikap pengguna untuk membeli belah dalam talian dijangka akan berkekalan, jadi kami bersedia untuk mencapai sasaran," katanya kepada pemberita pada sidang maya Ekspo e-Dagang (eDX) di sini hari ini.

Pada 2018, e-dagang membentuk hanya kira-kira lapan peratus daripada KDNK iaitu sebanyak RM150 bilion dan ia telah berkembang sejak PKP.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, angka e-dagang 2019 masih lagi menunggu pengesahan, bagaimanapun, jumlahnya kelihatan amat menggalakkan dengan arah aliran tingkah laku pengguna menyaksikan peningkatan keyakinan dari sudut pembeli serta perniagaan.

"Keadaan sekarang amat menggalakkan, ramai orang sedang cuba memasuki pendigitalan, tambahan lagi, ia agak mudah.

"Kami sekarang sangat tertumpu kepada inisiatif skala (pendigitalan) dalam tujuan meningkatkan keupayaan dan semua pihak dalam bidang ini," katanya.

eDX, berjalan dari 4 hingga 8 Mei 2020, ialah acara maya percuma yang dihoskan oleh platform Go e-Commerce yang direka bagi mempercepatkan kesediaan perniagaan, penggunaan alat perniagaan elektronik serta keupayaan awal usahawan mikro termasuk syarikat pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Artikel Berkaitan:

Semasa PKP, tahap kerjasama dan koordinasi yang tinggi di kalangan industri dalam usaha untuk mencapai matlamat yang sama adalah amat mengujakan.

Beliau berkata, kerajaan telah mencuba memupuk e-dagang sejak 2017 melalui pelan hala tuju strategik e-dagang kebangsaan dengan SME Corp, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"E-dagang telah dikenal pasti sebagai perkhidmatan penting semasa PKP memandangkan pendigitalan telah menjadi norma dan pemboleh pada masa seperti sekarang," kata Surina.

Untuk membolehkan negara ini mencapai status kuasa digital, ia akan bergantung kepada sambungan dan kemampuan perhubungan alat digital.

"Dalam konteks perniagaan, sebab utama e-dagang diperkenalkan adalah untuk membolehkan syarikat dan perniagaan berhubung terus dengan pelanggan mereka.

"Matlamat kami bertujuan memberi maklumat yang perlu kepada seberapa ramai orang termasuk perniagaan dan usahawan bagi membolehkan mereka memasuki ke dalam talian," katanya.

eDX merupakan inisiatif pertama seumpamanya bagi menghubungkan perniagaan di seluruh negara.

Acara itu akan menyaksikan siri 'Webinar' secara percuma dan sesi perbincangan panel yang meliputi topik utama, tips dan cara untuk menjalankan e-dagang termasuk kisah-kisah kejayaan pendigitalan. - Bernama