Pantau jalan tikus migran

Lorong tikus sentiasa berubah-ubah mengikut situasi operasi dan kelicikan sindiket mencari jalan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa. Gambar hiasan.
Lorong tikus sentiasa berubah-ubah mengikut situasi operasi dan kelicikan sindiket mencari jalan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa. Gambar hiasan.
A
A
A

PULANGAN sehingga mencecah RM180,000 satu trip. Itu pendapatan lumayan yang diraih sindiket penyeludupan migran yang menyediakan pakej perjalanan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang mahu pulang atau datang ke Malaysia.

Tidak hairanlah kenapa mereka tidak serik-serik meskipun banyak tangkapan atau operasi dijalankan pihak berkuasa, namun itu tidak menggentarkan jiwa ahli sindiket yang pada kebiasaannya didalangi warga Indonesia yang mendapat status penduduk tetap di Malaysia.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk badai gelora cuaca di laut yang tidak menentu membawa PATI ini menggunakan bot kecil tanpa menggunakan peralatan keselamatan, perkara itu dianggap remeh buat sindiket yang beroperasi secara haram.

Sindiket yang menjalankan perkhidmatan membawa keluar atau masuk PATI mengenakan caj antara RM500 sehingga RM1,500 untuk seorang.

Sindiket berkenaan biasanya didalangi tekong darat dan laut dengan kebanyakan daripada mereka memiliki status penduduk tetap Malaysia, malah ada juga warga tempatan yang bersekongkol dengan sindiket tersebut.

Biasanya caj yang dikenakan ke atas seorang PATI serendah RM500 sehingga RM1,500 bergantung kepada jarak dan lain-lain bayaran termasuk caj pengangkutan darat iaitu bas atau kereta sewa.

Mereka menggunakan modus operandi dengan menawarkan pakej perkhidmatan melalui rangkaian kenalan mereka dan selepas bayaran dibuat, tekong darat akan mengambil PATI di stesen bas atau lokasi tertentu sebelum dikumpulkan di kawasan perairan barat dan timur Johor.

Kebiasaannya sindiket memilih kawasan semak berhampiran pantai sebagai lokasi menunggu sebelum tekong laut membawa mereka menaiki bot keluar atau masuk ke Malaysia menggunakan lorong tikus atau jalan yang tidak diwartakan.

Artikel Berkaitan:

Tempoh menunggu bot juga bergantung kepada keadaan cuaca dan selamat daripada intipan pihak berkuasa dari sehari sehingga mencecah seminggu.

Pasukan Polis Marin (PPM) mendedahkan siasatan dan risikan pihaknya ke atas kes-kes terdahulu, sindiket juga licik memilih waktu lewat malam atau awal pagi kerana suasana yang gelap dan beranggapan waktu itu selamat untuk mereka.

Sindiket menggunakan logistik untuk mengangkut PATI jenis bot gentian kaca kecil menggunakan enjin sangkut yang mampu memuatkan seramai lima penumpang dan ada juga bot pancung yang boleh memuatkan seramai 120 orang pada satu-satu masa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Polis Johor turut mendedahkan lebih 15 lokasi yang dikesan sebagai lorong tikus sindiket penyeludupan migran membawa PATI untuk keluar atau masuk negara ini melalui perairan Johor.

Lokasi berkenaan merangkumi pantai barat Johor iaitu dari Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian sehingga Gelang Patah, manakala pantai timur menyusuri pantai dari Mersing, Kota Tinggi sehingga ke Pasir Gudang.

Sindiket juga cenderung menjadikan kawasan hutan paya bakau, ladang kelapa sawit dan kawasan semak-samun berhampiran pantai sebagai tempat persembunyian serta transit sebelum PATI dibawa keluar dari Malaysia.

Lorong tikus

Lorong tikus sentiasa berubah-ubah mengikut situasi operasi dan kelicikan sindiket mencari jalan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sebagai contoh, di pantai timur Johor dari Penawar, Kota Tinggi sehingga ke Tenggaroh, Mersing adalah antara lokasi yang sering digunakan sindiket untuk pendaratan dan lokasi untuk membawa PATI keluar.

Pada umumnya, sindiket menyasarkan kawasan berkenaan kerana ia mempunyai pantai berpasir dan berdekatan dengan jalan raya, selain kawasan pedalaman yang jauh daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, di bahagian pantai barat pula adalah kawasan sungai, muara dan parit serta paya bakau merupakan kawasan operasi yang digunakan sindiket, sebagai contoh Sungai Pulai, Gelang Patah.

Malah, ada antara mereka menggunakan jeti nelayan tempatan sebagai port mendarat ataupun lokasi transit sebelum PATI dibawa keluar sama ada ke Pulau Batam, Indonesia mahupun Tanjung Balai, Kepulauan Sumatera untuk ke Medan.

Jarak perjalanan diambil untuk satu perjalanan mengikut lokasi mengambil masa antara 30 minit hingga dua jam menaiki bot yang disediakan sindiket berkenaan yang dikendali tekong laut.

Siasatan polis turut mendedahkan tekong juga mempunyai kepakaran ilmu kelautan bagi mengendalikan bot pada waktu malam tanpa menggunakan lampu navigasi kerana mahu mengelak kehadiran mereka disedari pihak berkuasa.

Menjelang bulan Ramadan dan Syawal, perkhidmatan sindiket menyediakan pakej perjalanan melalui lorong tikus mendapat permintaan PATI terutama warganegara Indonesia.

Kemudahan yang disediakan sindiket penyeludupan migran menjadi pilihan kerana pakej yang disediakan bermula dari awal sehingga PATI selamat pulang ke kampung halaman.

Ekoran permintaan yang tinggi itu, Polis Johor melancarkan Op Pintas Bersepadu Selatan pada 22 April lalu bagi menangani aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku di negeri Johor khususnya.

Operasi tersebut melibatkan kerjasama beberapa agensi iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, fokus utama operasi berkenaan adalah untuk memastikan sempadan negara terutama di Johor tidak diceroboh sama ada perairan mahupun daratan.

"Kawalan di daratan akan dipertingkatkan menerusi pos kawalan di pesisiran pantai sepanjang negeri Johor, sementara pada peringkat daerah sekatan jalan raya ditambah daripada 62 kepada 92.

"Bagi kawalan di lautan pula, aset diatur gerak secara optimum, begitu juga dengan perkongsian maklumat antara agensi kerajaan yang terlibat," katanya baru-baru ini.

Ayob Khan berkata, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan sekiranya Malaysia bebas daripada pandemik koronavirus (Covid-19), operasi berkenaan akan tetap diteruskan.

Selepas lebih dua minggu Op Pintas Bersepadu Selatan dilancarkan, lebih 20 sindiket penyeludupan migran dikesan aktif menjalankan jenayah rentas sempadan.

Malah, Ayob Khan turut mendedahkan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa adalah antara beberapa individu yang disyaki menjadi dalang sindiket tersebut.

Dalam perkembangan terbaharu, Ayob Khan berkata, polis menahan seramai 20 tekong dan 24 migran warga Indonesia menerusi Op-Pintas Bersepadu Selatan menerusi sembilan serbuan di Wilayah Iskandar dan Kota Tinggi antara 22 dan 27 April lalu.

Beliau berkata, tekong yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan serta sembilan lelaki dan seorang wanita Indonesia berusia antara 20 dan 57 tahun, manakala kesemua migran yang ditahan pula terdiri daripada 21 lelaki dan tiga orang wanita Indonesia berusia antara 19 dan 31 tahun.

*Sharkawi Londing ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Johor