Manfaat Ramadan dengan solat tarawih bersama keluarga

Ahmed Razman (kanan) melihat dan membantu anak-anaknya membaca Iqra' serta menghafal surah-surah lazim di rumah.
Ahmed Razman (kanan) melihat dan membantu anak-anaknya membaca Iqra' serta menghafal surah-surah lazim di rumah.
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia, Ramadan tahun ini dirasakan agak suram kerana tidak dapat menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid dan surau susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Namun, berbeza pula dengan Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff yang menyifatkannya sebagai pengalaman terindah kerana beliau dapat memanfaatkan Ramadan dengan menunaikan solat tarawih bersama keluarga di rumah.

Ahmed Razman berkata, kebiasaannya sebelum ini beliau akan ke surau untuk solat tarawih, manakala isterinya, Johana Mohamad Akhir, 43, dan anak perempuan sulung, Maisarah, 15, pula akan solat di rumah kerana menjaga tiga lagi anak yang masih kecil.

Menurutnya, anak sulung beliau, Ilyas, 17, sebelum ini tiada di rumah kerana tinggal di asrama.

Katanya, pada tahun ini segala kekangan itu seolah-olah dipermudahkan apabila beliau diberi peluang untuk menunaikan solat tarawih bersama keluarga setiap hari di rumah.

“Saya jadi imam, manakala isteri dan lima orang anak kami menjadi makmum. Pada awalnya anak-anak berasa sedikit kekok kerana ini kali pertama kami bertarawih bersama.

“Ia pengalaman baharu buat kami sekeluarga terutama tiga anak kecil saya yang sedang belajar menghafaz surah-surah lazim. Mereka cukup seronok kerana dapat mendengar dan mengikuti bacaan tersebut ketika solat tarawih,” katanya semalam.

Ahmed Razman yang merupakan pensyarah di Putra Business School (PBS) berkata, selain solat tarawih, beliau sekeluarga juga mengamalkan solat lima waktu berjemaah setiap hari pada bulan Ramadan tahun ini dan ia di-praktikkan sejak awal pelaksanaan PKP lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, anak bongsunya, Maryam, 4, juga dilatih untuk ikut solat jemaah, sementara dua abangnya, Muhammad, 6, dan Ishaq, 8, dilatih untuk bangun bersahur, berpuasa serta membaca doa di meja makan.

“Pada bulan Ramadan ini juga, saya dan isteri akan melihat serta memastikan Ishaq dan Muhammad membaca Iqra’ serta menghafaz surah-surah lazim pada setiap hari,” katanya.

Ahmed Razman turut berkongsi tip pemakanan ketika bersahur iaitu beliau hanya makan roti bagi mengekalkan tenaga berbanding makan nasi.

“Isteri pula lebih suka memasak sendiri sepanjang Ramadan dan menggunakan bahan makanan organik, selain kami sekeluarga juga mengamalkan makan vitamin.

“Saya turut mengamalkan makan habbatus sauda setiap hari. Anak-anak pula banyak makan buah-buahan dan minum air kosong,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau turut melakukan aktiviti berkebun di belakang rumah untuk kekal cergas.