Hadi, Yakult bantu pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia

Hadi dan Hamada (kanan) mewakili Yakult Malaysia Sdn Bhd menghulurkan bantuan sebanyak RM60,000 kepada kanak-kanak pesakit kanser di Malaysia menerusi CAKNE. - Foto Sportflex Malaysia
Hadi dan Hamada (kanan) mewakili Yakult Malaysia Sdn Bhd menghulurkan bantuan sebanyak RM60,000 kepada kanak-kanak pesakit kanser di Malaysia menerusi CAKNE. - Foto Sportflex Malaysia
A
A
A

PENYERANG skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak tetap melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu mereka yang memerlukan di Malaysia walaupun berada beribu batu jauh dari tanah air.

Terkini, pemain Fagiano Okayama berusia 20 tahun itu bersama Yakult Malaysia Sdn Bhd menyumbang dana RM60,000 bagi membantu kanak-kanak pesakit kanser di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) melalui sumbangan yang diberikan melalui Persatuan Sokongan Kanser kanak-Kanak PPUKM (CAKNE).

“Saya berharap agar sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa setiap kanak-kanak ini apatah lagi dalam keadaan semasa, semua pihak tidak berada dalam keadaan begitu senang disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Tambahan pula, tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menyatakan bahawa sumbangan itu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) akan diteruskan selama setahun.

“Kami memilih CAKNE kerana bersimpati dengan nasib kanak-kanak penghidap kanser. Kami juga telah membuat perancangan untuk menjalankan program bersama Hadi Fayyadh untuk kanak-kanak terlibat pada penghujung tahun ini. Ia mungkin dapat menceriakan hati mereka,” katanya dalam kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: