X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka benar penjaja berniaga di kawasan kediaman

Gambar hiasan - Foto sumber internet
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri membenarkan penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, bagaimanapun, kelonggaran itu hanya melibatkan operasi di kawasan kediaman masing-masing.

Menurut Sulaiman, pihaknya membuat keputusan itu selepas mengambil kira nasib golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas teruk akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kerajaan negeri membuat keputusan membenarkan penjaja dan peniaga kecil di negeri ini untuk menjalankan perniagaan yang terhad di kawasan rumah masing-masing sahaja, namun kebenaran masih tertakluk kepada syarat-syarat ketat dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, kebenaran yang diberikan itu boleh ditarik semula serta-merta jika penjaja dan peniaga tidak mematuhi atau melanggar SOP ditetapkan.

"Saya berharap kelonggaran diberikan dan sedikit sebanyak dapat membantu golongan berkenaan memperoleh pendapatan untuk kegunaan pada bulan Ramadan dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga akan mematuhi sepenuhnya pembukaan semua sektor dan subsektor ekonomi yang telah diberikan kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh PKPB.

Katanya, semua premis makanan perlu mengekalkan kaedah pembelian secara dibawa pulang, perkhidmatan penghantaran dan pandu lalu sahaja tanpa aktiviti makan di dalam premis atau ‘dine-in'.

"Keputusan dibuat berdasarkan syarat-syarat lesen perniagaan yang ditetapkan oleh PBT dan waktu operasi yang dibenarkan juga sehingga jam 9 malam," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!