X

Kindly register in order to view this article
!

Bas Smart Selangor, PJ City Bus mula operasi esok

Pelekat penanda jarak sebagai langkah penjarakan sosial.
A
A

SHAH ALAM - Bas Smart Selangor dan PJ City Bus yang dihentikan sejak 24 Mac lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan koronavirus (Covid-19) akan kembali beroperasi secara berperingkat mulai esok.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pemakluman itu selari dengan keputusan kerajaan negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

Menurut beliau, jadual perjalanan bas ini bermula jam 6 pagi hingga 10 malam bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke tempat kerja.

"Bas Smart Selangor akan beroperasi di 36 laluan dengan jumlah 103 buah bas. Tujuh laluan iaitu laluan SPG 3 dan SPG 4, BTG2, SB02 dan SB03 serta HS02 dan HS03 akan ditangguhkan sementara waktu.

Operasi sanitasi dalam bas selesai dilakukan sebelum memulakan operasi esok.
Operasi sanitasi dalam bas selesai dilakukan sebelum memulakan operasi esok.

"Sementara PJ City Bus pula akan beroperasi di semua enam laluan dengan jumlah 16 buah bas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sze han dalam pada itu turut mengingatkan penumpang dan pemandu bas sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk amalan penjarakan sosial dan memakai topeng muka.

"Sebagai langkah pencegahan dan keselamatan, bas terlibat telah dilakukan proses nyahkuman selain menampal penanda jarak sosial di tempat duduk penumpang serta penyediaan cecair sanitasi dalam bas.

"Had bilangan penumpang setiap bas juga akan dikurangkan berbanding dengan had bilangan penumpang yang sedia ada bagi memastikan penjarakan selamat antara penumpang," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sze Han berkata, sebanyak 20 bas Smart Selangor telah digunakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai pengangkutan khas membawa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat-pusat kuarantin ditetapkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!