Covid-19: JKM buat saringan di pusat jagaan warga emas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 2,500 penghuni warga emas dan 958 warga kerja di 17 buah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjalani saringan koronavirus (Covid-19).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, proses saringan yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bermula hari ini di rumah Seri Kenangan Kemumin, Kelantan dan Rumah Ehsan Dungun, Terengganu melibatkan 200 penghuni dan petugas.

"Program ini akan dilaksanakan secara berfasa di institusi kebajikan lain mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina berkata, beliau menyarankan ujian itu dilakukan selaras dengan saranan KKM untuk melindungi golongan seperti warga emas yang berdepan risiko kematian tertinggi sekiranya dijangkiti Covid-19 disebabkan faktor umur dan juga penyakit kronik.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat prihatin dan memandang serius kesihatan warga emas yang berada di institusi-institusi jagaan warga emas," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: