MAHB tambah SOP baharu

Semua penumpang diwajibkan untuk memakai topeng muka. - Foto Bernama
Semua penumpang diwajibkan untuk memakai topeng muka. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkatkan prosedur operasi standardnya (SOP) dengan melaksanakan langkah-untuk memastikan keselamatan penumpang berikutan perjalanan udara domestik disambung semula.

Pengendali lapangan terbang itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah baharu itu termasuklah menjadikan penggunaan topeng muka sebagai wajib apabila memasuki bangunan terminal dan mereka yang tidak memakainya tidak akan dibenarkan masuk ke premis.

“Dengan beberapa laluan penerbangan domestik disambung semula, kami menjangka jumlah penumpang akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Kami ingin mengingatkan penumpang untuk mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah dikuatkuasakan di semua lapangan terbang kami,” kata MAHB sambil menambah ia akan memudahkan Kementerian Kesihatan untuk melakukan ujian pantas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAHB berkata, ia telah menguatkuasakan pintu masuk dan keluar yang terhad di KLIA dan ia telah menempatkan pasukan Keselamatan Penerbangan untuk melakukan saringan ke atas penumpang bagi memastikan penggunaan topeng muka dan memeriksa suhu badan mereka.

Tempat pemeriksaan merangkumi pintu masuk ERL dari pintu masuk utara dan ‘link-bridge’, Aras 2 di tempat letak kereta jangka pendek bangunan terminal utama serta di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan pusat beli-belah gateway@LIA2.

MAHB juga berkata, hanya penumpang dengan tiket penerbangan atau pas masuk yang sah akan dibenarkan memasuki terminal dan semua ‘meeter and greeter’ tidak akan dibenarkan masuk ke terminal.

Bagi terminal KLIA2, ‘meeter and greeter’ hanya dibenarkan masuk sehingga pusat beli-belah gateway@KLIA2.

Artikel Berkaitan:

“Semua penumpang yang akan berlepas perlu melalui saringan suhu sebelum dibenarkan memasuki bangunan terminal.

“Penumpang dengan suhu badan lebih 37.5 darjah celcius tidak akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, ”katanya sambil menambah jarak satu meter perlu diperhatikan semasa berada di terminal.

MAHB memberi jaminan kepada penumpang bahawa lapangan terbang telah dinyahkuman dan aktiviti pembersihan dilakukan secara konsisten sejak bermulanya wabak koronavirus (Covid-19).

“Hanya minggu lepas, KLIA menjalani langkah pembasmian kuman sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat tempatan untuk kedua-dua terminalnya,” katanya. - Bernama