6,840 PKS terima RM3b kemudahan dana pinjaman mudah

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sehingga 5 Mei 2020, sebanyak 6,840 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima kemudahan dana pinjaman mudah berjumlah RM3 bilion yang disalurkan kerajaan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan pertambahan daripada RM1.5 bilion bantuan melibatkan 3,363 PKS setakat 26 April lalu.

Menurutnya, majoriti jumlah ini adalah daripada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang mana PKS boleh memohon pembiayaan sebanyak RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus dan 80 peratus daripada jumlah pembiayaan dijamin kerajaan.

“Sambutan terhadap kemudahan ini amat menggalakkan dan saya berharap ia digunakan dengan penuh manfaat,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Keempat Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat di sini semalam.

Tengku Zafrul berkata, bagi Skim Pinjaman Mikro Kredit, sehingga 29 April 2020, daripada RM700 juta kredit-mikro yang ditawarkan pada kadar faedah 0 peratus oleh BSN dan Tekun Nasional, sebanyak RM132 juta telah diluluskan.

Daripada jumlah ini, BSN telah meluluskan RM90 juta kepada 2,000 PKS Mikro dan Tekun telah meluluskan RM42 juta kepada 5,000 PKS Mikro.

"Bagi program Subsidi Upah pula, sehingga 3 Mei, sebanyak RM1.9 bilion telah diluluskan yang memanfaatkan 235,000 majikan dan melibatkan 1.7 juta pekerja," katanya sambil menambah ia merupakan peningkatan daripada 195,000 majikan melibatkan 1.5 juta pekerja dalam laporan minggu lalu.

Tengku Zafrul berkata, bagi program pengekalan pekerja (ERP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kerajaan telah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM120 juta (keseluruhan berjumlah RM240 juta).

Artikel Berkaitan:

Program ini bertujuan untuk memberi sokongan sebanyak RM600 sebulan selama enam bulan kepada pekerja yang bercuti tanpa gaji.

Sebelum ini, pada 16 Mac, ERP telah diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM120 juta dan sehingga hujung April 2020, lebih 52,000 permohonan pekerja telah diterima dan diluluskan. - Bernama