Rayuan 16 bekas ahli UMNO cabar kesahihan parti didengar 26 Oktober

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendengaran rayuan 16 bekas ahli UMNO di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan parti politik itu telah dijadualkan semula pada 26 Oktober.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili mereka berkata, tarikh pendengaran yang ditetapkan hari ini terpaksa dijadualkan semula susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Beliau berkata, perkara itu kemudian telah dikembalikan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azniza Mohd Ali menerusi e-Semakan yang mengarahkan pihak terbabit memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Azniza turut menetapkan 28 September sebagai pengurusan kes bagi memastikan bahawa hujahan bertulis telah difailkan.

Kesemua 16 bekas ahli UMNO telah diberikan kebenaran pada Februari tahun lalu untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Mereka ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman, kesemua 16 bekas ahli UMNO itu memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) seperti yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018 dalam memberikan UMNO pelanjutan tempoh untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019 yang melepasi tempoh maksimum.

Mereka selanjutnya memohon perintah mandamus untuk mendesak RoS membubarkan sementara UMNO dan bagi RoS menggantung semua aktiviti UMNO sehingga selesai semakan kehakiman itu.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa UMNO merupakan parti yang tidak sah berkuat kuasa 20 April 2018.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan kumpulan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan RoS.

Mereka kalah dalam rayuan berhubung perkara itu, yang ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 5 November tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Kamaludin Mohd Said (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman atas alasan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan menetapkan bahawa seseorang ahli parti tidak boleh membawa pertikaian berkaitan parti ke mahkamah. - Bernama