25 ditahan khalwat di Kelantan

Mohd Fadzuli Mohd Zain
Mohd Fadzuli Mohd Zain
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menahan 25 individu termasuk 10 pasangan kekasih melalui operasi khalwat di sekitar daerah ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan.

Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, penahanan 12 individu lelaki dan 13 wanita bujang berusia di antara 20 hingga 50 tahun itu dilakukan selepas menerima aduan daripada orang awam.

“Terdapat satu kes membabitkan sekumpulan lima individu terdiri daripada lelaki dan wanita berada di dalam satu rumah manakala yang lain ialah pasangan kekasih.

“Tahanan pasangan kekasih yang berkhalwat tersebut kesemuanya tidak membabitkan mereka yang berstatus isteri atau suami orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, operasi JAHEAIK dilakukan di beberapa kali lokasi termasuk hotel, rumah penginapan, apartmen dan di dalam kereta.

“Kami mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Ketika ditahan mereka gagal memberikan alasan munasabah dan boleh menimbulkan syak,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 9 (1),(2), (3) dan (4) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan kerana berkhalwat.

Menurutnya, kesemua mereka sudah dibebaskan selepas memberi keterangan dan perlu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, sehingga 11 Ramadan JAHEAIK belum menahan individu yang tidak berpuasa dalam operasi yang dilaksanakan.

“Kedua-dua operasi, khalwat dan membanteras individu tidak berpuasa tetap diteruskan dari masa ke masa khususnya bagi memastikan umat Islam menghormati bulan mulia ini,” katanya.