Sains perlu beri perkhidmatan terbaik

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN – Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) diseru memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan pelabur di negeri ini menjelang 2020, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya ini kerana pertambahan permintaan bekalan air bagi tahun mendatang dijangka akan terus meningkat seiring dengan pembangunan pesat negeri.

"Saya benar-benar berharap Sains boleh bersama-sama saya memacu negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju dan dipercayai pihak luar.

"Walaupun kita maklum Sains berhadapan dengan kekangan kewangan dalam pengoperasiannya, namun saya yakin Sains akan mampu memberikan perkhidmatan yang efisien," katanya pada majlis Makan Malam Sains dan Anugerah Cemerlang di sini, malam ini.

Turut hadir Pengarah Sains Wan Rasdi Wan Ismail, barisan Exco kerajaan negeri dan 500 warga kerja Sains.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Sains berkata, pencapaian syarikat itu berkenaan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) sehingga November tahun lepas mencapai 31.1 peratus.

"Pencapaian ini jauh lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Pada majlis itu, seramai 74 petugas Sains menerima anugerah cemerlang.-Bernama

Artikel Berkaitan: