SPRM teliti cadangan penangguhan Seksyen 17A, ambil kira kekangan syarikat

Azam Baki mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Azam Baki mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti cadangan penangguhan pelaksanaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sepatutnya dilaksanakan 1 Jun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, ini kerana terdapat permintaan terutama daripada syarikat yang tidak bersedia dari segi pelan antirasuah yang bersesuaian.

“Selain itu, mereka juga sedang mengalami masalah perniagaan yang sedang merudum susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang memberi kesan kepada perniagaan mereka.

“Mereka meminta untuk mengambil masa dalam tempoh lebih kurang satu tahun untuk menjana semula perniagaan mereka sebelum melaksanakan Seksyen 17A ini,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini.

Menjelas lanjut, Azam berkata, pihaknya prihatin dengan nasib yang menimpa syarikat yang terlibat dan akan mengambil kira pandangan beberapa pihak sebelum dimaklumkan kepada kerajaan untuk diputuskan.

“Saya memberi jaminan cadangan ini memang akan kami pertimbangkan sebaiknya walaupun kami sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Seksyen 17A ini,” katanya.

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018 memperuntukkan undang-undang yang membolehkan syarikat terlibat rasuah didakwa.

Sebelum peruntukan itu wujud, Akta SPRM 2009 hanya tertumpu kepada pendakwaan atas 'natural person' iaitu individu yang terlibat dengan rasuah sahaja. - Bernama

Artikel Berkaitan: