Biasakan normal baharu, bersederhana sambut Syawal

Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto Bernama
Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat Selangor supaya menyambut Hari Raya Aidilfitri secara bersederhana tanpa perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung.

Titah baginda, rakyat juga perlu membiasakan amalan normal baharu termasuk keluar hanya bila perlu, tidak berhimpun atau menganjurkan rumah terbuka sepanjang Syawal serta mengekalkan jarak selamat di tempat awam.

"Pastikan juga amalan memakai topeng muka dan menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan dan penggunaan sanitizer dijadikan sebagai satu kemestian apabila keluar dari rumah.

"Nasihat beta kepada warga emas atau sesiapa yang tidak sihat atau ada menunjukkan gejala (koronavirus) Covid-19, duduk sahajalah di rumah," titah baginda yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office di sini.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, polis, tentera, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertungkus-lumus menjalankan tugas masing-masing.

"Beta sering memantau dan meneliti setiap data dan statistik kes jangkitan wabak ini dari semasa ke semasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

"Alhamdulillah, data semasa menunjukkan PKP yang dilaksanakan telah berjaya melandaikan keluk dan keupayaan hospital-hospital dalam merawat kes-kes Covid-19 juga adalah terkawal.

"Kini, setelah masuk PKP fasa lima (PKP Bersyarat), di mana kelonggaran telah diberikan bagi menyokong semula sektor ekonomi, beta amat berharap agar rakyat kekal berhati-hati dalam menjalankan kembali rutin harian," titah baginda.

Artikel Berkaitan: