Ujian swab pekerja asing ditanggung Perkeso jika mencarum

PUTRAJAYA, 5 Mei -- Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA, 5 Mei -- Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kos menjalani ujian swab bagi pekerja asing di negara ini akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti yang diumumkan oleh kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kira-kira 60 peratus pekerja asing di negara ini telah mencarum dengan agensi itu dan turut berharap agar majikan melaksanakannya demi keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

"Kita keluarkan arahan ini kerana bimbang wujud kluster baharu iaitu kluster pekerja asing kerana tiga hari lepas kita dapati terdapat peningkatan berturut-turut selama dua hari. Langkah yang diambil oleh kerajaan ialah menutup tapak pembinaan tersebut.

"Kita mahu cegah kerana kita tidak mahu jadi seperti Singapura yang pada awalnya graf bagi kes positif koronavirus (Covid-19) mendatar tetapi disebabkan oleh kluster baharu iaitu kluster warga asing, kes naik mendadak.

"Kita tidak mahu perkara sama berlaku kepada Malaysia, jadi saya berharap agar persatuan majikan sedar bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan demi menjaga kepentingan seluruh rakyat," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata, arahan kepada majikan agar melaksanakan ujian swab tersebut juga bertujuan menyelamatkan perniagaan mereka.

"Jika ada dalam kalangan pekerja mereka positif kita terpaksa menutup operasi perniagaan atau kilang itu. Jika buat saringan dan ada pekerja positif kita akan asingkan yang positif dan pekerja negatif boleh terus bekerja. Dengan langkah ini operasi syarikat tidak terjejas," katanya.

Katanya, berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), proses atau ujian tersebut akan dimulakan dengan pekerja di tapak pembinaan.

Artikel Berkaitan:

"KKM nasihatkan kita untuk mulakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.