Sektor pelancongan Melaka ambil masa 2 tahun pulih

Keadaan air Sungai Melaka lebih tenang dan jernih selepas PKP dilaksanakan. - Foto BERNAMA
Keadaan air Sungai Melaka lebih tenang dan jernih selepas PKP dilaksanakan. - Foto BERNAMA
A
A
A

MELAKA - Industri pelancongan Melaka dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih sepenuhnya ekoran impak penularan koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Beliau berkata, ia mengambil kira pelbagai faktor antaranya aspek ekonomi yang menyumbang pada penutupan sementara dan kekal beberapa fasiliti pelancongan termasuk hotel sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan serta keyakinan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.

Justeru, katanya usaha mengembalikan kegemilangan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di dalam dan luar negara memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak khususnya pemain industri dari pelbagai sektor pelancongan.

"Saya percaya dalam tempoh dua tahun selepas Covid-19 berakhir, industri pelancongan Melaka akan pulih sepenuhnya...kepercayaan pelancong nak datang tempat kita ambil masa.

"Jadi, pelbagai usaha perlu dilakukan secara lebih agresif dan kami mempunyai perancangan untuk menjadikan Melaka sebagai pusat dagangan pelancongan bagi menarik keyakinan pelancong untuk datang," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini industri pelancongan Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga mempunyai pelbagai perancangan bagi memperkukuh industri pelancongan Melaka namun ia tidak dapat dilaksanakan buat masa ini susulan penularan wabak Covid-19.

Katanya, antara perancangan itu ialah membuka lebih banyak laluan penerbangan udara ke destinasi dalam dan luar negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam di sini memandangkan medium pengangkutan itu mendapat permintaan yang tinggi kalangan pelancong tempatan dan luar negara dalam tempoh dua tahun lalu.

Muhamad Jailani berkata, jumlah pelancong menggunakan perkhidmatan penerbangan di Melaka naik lebih 100,000 pada tahun lalu berbanding kurang 20,000 pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, pelbagai bantuan dan pelepasan diberi kepada sektor perhotelan di negeri itu bagi memastikan impak wabak tersebut dapat dikurangkan agar dapat terus bertahan sehingga Covid-19 berakhir.

"Cukai perkhidmatan sedia ada kami telah beri pelepasan bermula Mac sehingga enam bulan dan pada masa sama pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia untuk hotel dan syarikat pelancongan juga telah dikecualikan bermula April.

"Kami juga telah bersetuju untuk berbincang dengan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi penstrukturan semula bayaran bagi memudahkan aliran wang tunai pengusaha pelancongan serta perhotelan dan sekarang kami tengah melihat caj warisan yang mungkin ditangguhkan pembayarannya dalam tempoh Covid-19 ini," katanya. - Bernama