Sabah umum pendirian PKPB 12 Mei ini

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kanan) menyerahkan bantuan Covid-19 daripada Osimal Foundation kepada Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi (dua dari kiri) dalam satu majlis di Hospital Mesra Bukit Padang hari ini. - Foto Bernama
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kanan) menyerahkan bantuan Covid-19 daripada Osimal Foundation kepada Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi (dua dari kiri) dalam satu majlis di Hospital Mesra Bukit Padang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan mengumumkan pendirian negeri itu terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 12 Mei ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, buat masa ini, kerajaan negeri kekal dengan keputusan untuk meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Mohd Shafie berkata, ini bukan bermaksud Sabah tidak mahu mengikut peraturan ditetapkan kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri perlu meneliti terlebih dahulu beberapa langkah proaktif sebagai persediaan sebelum melaksanakan PKPB ke arah menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat Sabah, dalam masa sama, berupaya menggerakkan usaha memulihkan sektor ekonomi.

"Kita (kerajaan Sabah) sangat berhati-hati. Setiap sektor yang akan beroperasi (pada PKPB) ini perlu ada persediaannya terutama sektor penting termasuk makanan, pengangkutan, perkhidmatan, serta industri minyak dan gas.

“Tidak boleh katakan, hari ini diumumkan (PKPB), kita pun ikut (tanpa sebarang) persediaan. Atas sebab itu, saya melihat perkara ini perlu diteliti secara mendalam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bekalan peralatan perubatan daripada Yayasan Osimal di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan pelaksanaan PKPB sudah diwartakan dan semua negeri tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berharap kerajaan Persekutuan berhubung dengan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan termasuk mengambil kira pandangan negeri bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat serta pembangunan ekonomi diurus tadbir dengan baik dalam tempoh sekarang.

"Ini masa untuk bekerjasama mengurus negara dengan baik. Ini bukan tugasan mudah (sebaliknya) perlu tindakan seimbang antara keselamatan rakyat dan juga mengembangkan ekonomi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, Sabah sentiasa peka terhadap keperluan pembangunan sektor ekonomi dan ini dapat dibuktikan menerusi tindakan kerajaan negeri membenarkan beberapa sektor seperti perladangan, industri minyak dan gas serta bekalan makanan beroperasi sepanjang PKP.

Bagaimanapun, setiap sektor terbabit perlu beroperasi mengikut peraturan serta SOP disediakan kerajaan negeri bagi memastikan penularan wabak dapat dibendung di tempat kerja. - Bernama