X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Ditembak mati gara-gara arah pelanggan pakai topeng muka

Mangsa, Calvin Munerlyn ditembak mati selepas berlaku perselisihan faham dengan pelanggan yang enggan memakai topeng muka. - Foto Agensi
A
A

LANSING - Seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Amerika Syarikat (AS) ditembak mati selepas mengarahkan seorang pelanggan memakai topeng muka, kata polis.

Pembunuhan itu berlaku di Flint, Michigan, salah sebuah negeri di AS yang melaksanakan perintah lockdown bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Pemakaian topeng muka adalah wajib bagi setiap penduduk Michigan sepanjang tempoh lockdown dikuatkuasakan sehingga 28 Mei ini.

Jurucakap polis Michigan, Leftenan David Kaiser berkata, mangsa dikenali sebagai Calvin Munerlyn, 43, meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital.

"Suspek utama dan rakannya melarikan diri sejurus kejadian dan sedang diburu," kata Kaiser semalam.

Sementara itu, saksi di lokasi kejadian memberitahu polis, sebelum kejadian mangsa bertengkar dengan seorang wanita yang enggan memakai topeng muka.

"Wanita terbabit beredar dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan datang semula ke pasar raya berkenaan kira-kira 20 minit kemudian.

"Dua lelaki menjerit ke arah mangsa. Seorang suspek dipercayai suami kepada wanita itu.

"Suspek kedua pula melepaskan tembakan ke arah mangsa," kata pendakwa raya, David Leyton.

Leyton berkata, insiden itu berjaya dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Gabenor Gretchen Whitmer sebelum ini mengeluarkan arahan pemakaian topeng muka kepada semua peruncit dan pelanggan sepanjang tempoh lockdown.

Minggu lalu, kumpulan militia Michigan United for Liberty yang lengkap bersenjata menyerbu bangunan capitol di Lansing bagi mendesak Whitmer supaya menarik balik perintah berkurung.

Presiden Donald Trump bagaimanapun menganggap perbuatan kumpulan terbabit sebagai kebebasan bersuara dan tiada kaitan dengan pengganas domestik.

Trump menyifatkan kumpulan terbabit sebagai golongan orang baik-baik dan hanya meluahkan kemarahan kerana kehidupan harian mereka terjejas akibat perlaksanaan perintah berkurung. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Trump gelar penunjuk perasaan bersenjata orang baik-baik


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!