Kelantan laksana PKPB bermula esok: Menteri Besar

Ahmad ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (MKN) Khas Negeri Kelantan Bilangan 10 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Ahmad ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (MKN) Khas Negeri Kelantan Bilangan 10 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (MKN) Khas Negeri Kelantan Bilangan 10 hari ini.

“Kita putuskan akan melaksanakan PKPB bermula esok. Pada dasarnya, keseluruhan item yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat kita akan laksanakan dan terima.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan teliti garis panduan PKPB Khamis ini

Peniaga di Kelantan sokong teruskan PKP

“Semoga hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melihat pemulihan sektor ekonomi rakyat berlaku,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (MKN) Khas Negeri Kelantan Bilangan 10 yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagaimanapun, terdapat sedikit perubahan kesesuaian masa yang akan dilaksanakan di Kelantan setelah 36 item ekonomi dibenarkan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad juga memberitahu, mesyuarat juga memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti perniagaan colek pada waktu malam di negeri ini yang biasanya meriah setiap kali Ramadan.

“Sektor makanan beroperasi bermula jam 3 petang hingga 6.30 petang. Insya-ALLAH selepas Ramadan ini ada SOP (prosedur standard operasi) lain,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga mengekalkan ketetapan untuk tidak membenarkan masjid-masjid dibuka bagi solat berjemaah.

“Setakat ini masjid hanya empat orang dibenarkan sebagaimana digariskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kecuali terdapat perubahan daripada Maik,” katanya.

Ahmad berkata, berdasarkan ketetapan diputuskan kerajaan negeri, beliau mengharapkan rakyat untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan menjaga kebersihan selain menjaga jarak.

“Insya-ALLAH sama-sama kita berdoa agar rakyat dapat mematuhi peraturan sepanjang PKPB ini kerana kita bimbang kemungkinan kes koronavirus (Covid-19) ini boleh berulang semula di Kelantan.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang selama ini bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab mereka mengekang wabak Covid-19,” katanya.