16 penghantar makanan dikompaun tiada kebenaran operasi

Sebahagian penghantar makanan persendirian diperiksa dalam operasi dijalankan MDSB dan anggota polis sekitar daerah Sabak Bernam.
Sebahagian penghantar makanan persendirian diperiksa dalam operasi dijalankan MDSB dan anggota polis sekitar daerah Sabak Bernam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengambil tindakan kompaun terhadap 16 penghantar makanan persendirian di daerah ini kerana beroperasi tanpa kebenaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertuanya, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, pemeriksaan secara rambang itu dilakukan dua hari iaitu pada 30 April lalu dan kelmarin.

Menurutnya, operasi itu dijalankan penguat kuasa MDSB dan turut disertai empat anggota polis.

"Dalam operasi itu, MDSB telah memeriksa seramai 55 penghantar makanan persendirian yang menjalankan perkhidmatan itu sepanjang tempoh PKP," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Faizul berkata, operasi itu dijalankan bertujuan memastikan penghantar makanan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"MDSB membuat ketetapan hanya penghantar makanan persendirian yang berdaftar sahaja dibenarkan beroperasi.

"Penghantar makanan yang beroperasi tanpa kebenaran diambil tindakan selaras dengan Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana ingkar mematuhi arahan pihak berkuasa semasa tempoh PKP," katanya.

Sinar Harian 24 April lalu melaporkan, MDSB mewajibkan semua penghantar makanan persendirian di daerah ini melakukan pendaftaran secara dalam talian bagi membolehkan mereka menjalankan perkhidmatan itu dalam tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

Mohd Faizul sebelum ini menegaskan, individu yang diupah untuk menghantar makanan perlu berdaftar mengikut prosedur pendaftaran selain mematuhi tatacara kawalan penghantaran makanan yang disediakan.