Pahang patut contohi Perak: MB Perak

No Image Caption
A
A
A

TANAH RATA – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu 'memberi bayangan' isu tanah berstatus tanah pemilikan sementara (TOL) di Pahang dapat diselesaikan dengan mudah jika kerajaan negeri Pahang mencontohi kaedah Perak menyelesaikan isu itu.

Kerajaan Perak katanya, mengambil pendekatan mudah dengan meluluskan pemberian hak milik tanah 99 tahun untuk lebih 3,000 TOL bagi sesetengah penduduk yang telah lama tinggal di kawasan terbabit.

"Saya tidak mahu kecam Pahang (kerajaan negeri), sebab di Perak pun ada kawasan yang perlu dibangunkan, tetapi atas kapasiti dan semangat kerja untuk : masyarakat, apa salahnya kalau Pahang selesaikan masalah tanah yang berlarutan sejak sekian lama?

"Di Perak, kami ambil keputusan cukup mudah iaitu tanah TOL yang diduduki sekian lama, asalkan tanah itu tidak terletak di rizab sungai, rizab jalan dan perancangan lain, kita akan berikan hak milik," katanya pada sidang media di Bilik Operasi Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands di sini, hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail segera menyelesaikan isu petani dan juga membawa pembaharuan bagi menjaga kepentingan rakyat Cameron Highlands.

Sementara itu Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Howard Lee yang turut hadir mendesak kerajaan negeri Pahang menambah baik dasar guna tanah pertanian di Cameron Highlands terlebih dahulu sebelum Kerajaan Persekutuan melaksanakan transformasi yang telah dirancang.

"Dasar guna tanah di sini tidak terancang, ramai pengusaha kebun yang mengusahakan tanah itu lebih daripada 10 tahun tidak memperolehi TOL seperti yang dijanjikan.

"Ini mengakibatkan pekebun tidak dapat memperbaharui TOL dalam tempoh masa tepat, dan menimbulkan kegelisahan kerana kebun mereka berstatus tidak sah," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: