Kes Najib: Pasukan pendakwaan bantah permohonan tangguh perbicaraan

Najib Tun Razak. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Najib Tun Razak. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International Sdn Bhd membantah keras permohonan pihak pembelaan bagi menangguhkan perbicaraan sambil berkata ia bersifat remeh dan akan menyebabkan penangguhan tidak wajar terhadap perbicaraan yang dijadualkan.

Dalam surat bertarikh 17 Jan, 2019, yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ketua bahagian pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Manoj Kurup, menyatakan bahawa firma guaman yang mewakili Najib, Messrs Shafee &Co menerusi surat bertarikh 15 Jan telah memohon secara bertulis kepada mahkamah bagi perbicaraan, yang dijadualkan pada 12 Feb, dikosongkan kerana ada rayuan “interlocutory” yang menunggu untuk didengar di Mahkamah Rayuan.

Surat itu menyatakan pihak pembelaan membuat permohonan itu sementara menunggu untuk mendengar tiga rayuan interlocutary berhubung permohonan “gag order” yang dipohon oleh tertuduh. Ini berhubung permohonan tertuduh bagi beberapa dokumen dan pernyataan dan juga berkaitan usaha supaya surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah untuk mengetuai pasukan pendakwaan dikemukakan.

“Pemutusan rayuan-rayuan tersebut adalah perlu bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan pembelaan yang efektif, menurut peguam mewakili tertuduh.

“Kami ingin menarik perhatian Yang Arif mengenai bantahan keras kami terhadap permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan.

Kami ingin mengulangi bantahan kami kepada permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan dan menekankan bahawa pihak pembelaan mempunyai masa yang cukup selama lebih tujuh bulan (seawal 4 Julai, 2018) untuk menyediakan pembelaan, dan sebarang usaha bagi menangguhkan perbicaraan, harus ditolak oleh Mahkamah yang Mulia ini,” kata surat itu.

Surat itu juga menyatakan bahawa transkripsi rekod mahkamah (CRT) menunjukkan bahawa pada awal 4 Julai 2018, apabila tertuduh pertama kali dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa, Mahkamah Tinggi telah membayangkan berdasarkan jadual Hakim Mahkamah Tinggi, bahawa bulan Februari dan Mac 2019 sebagai tarikh bebas yang mungkin untuk perbicaraan.

Surat itu seterusnya menyatakan, pada 8 Ogos 2018, hakim mencadangkan agar perbicaraan bermula pada Nov 2018, tetapi cadangan ini dibantah keras oleh peguam tertuduh yang memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telahpun memperuntukkan bulan Februari dan Mac tahun ini untuk perbicaraan .

Artikel Berkaitan:

"Dan bahawa bulan Oktober dan Nov 2018, tidak lagi sesuai bagi pihak pembelaan kerana peguam telah menjadualkan semula perkara lain. Yang Arif Hakim pada 10 Ogos 2018, selepas mendengar permohonan pihak pembelaan bagi perintah larangan dan dengan persetujuan pihak-pihak, perbicaraan dijadualkan bermula pada 12 Feb, 2019, " kata surat itu.

Pada 4 Julai, Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibagtkan jumlah yang sama. - Bernama