Dua peniaga warga Indonesia maut kemalangan

A
A

KAJANG - Polis telah mengenalpasti dua mangsa kemalangan di Jalan Tekali, di sini, petang tadi, merupakan dua warga Indonesia.

Dalam kejadian pada jam 5 petang itu, sebuah lori yang membawa muatan batu pasir telah bertembung dengan van yang dinaiki dua mangsa itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan polis mendapat lori berkenaan dari arah Semenyih ke arah Batu 14 menuruni bukit yang berselekoh tajam lalu bertembung dengan van.

“Lori berkenaan telah masuk ke dalam gaung manakala sebahagian dari van berkecai berada di dalam gaung dan di atas permukaan bahu jalan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa berusia 38 tahun dan 57 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.

“Kedua-dua mangsa merupakan peniaga di Pekan Semenyih, van yang dinaiki membawa barang niaga.

"Manakala pemandu lori berusia 59 tahun itu pula cedera dan dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987, iaitu memandu kenderaan secara melulu menyebabkan kematian.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia