Penguatkuasa MBSP maut motosikal bertembung

Kedua-dua mangsa yang parah di bahagian kepala maut serta-merta di tempat kejadian.
Kedua-dua mangsa yang parah di bahagian kepala maut serta-merta di tempat kejadian.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Pongsu Seribu di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, Al Zahari Ahmad,32, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Turut terbunuh, penunggang motosikal yang bertembung dengan mangsa iaitu Azizi Affendy Mohammad Idris, 50.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua mangsa maut selepas bertembung lalu terseret menyebabkan kedua-duanya parah di kepala dan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati, Al Zahari yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR dari arah Jalan Pongsu Seribu menghala ke lampu isyarat Permatang Sireh.

Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian malam semalam.
Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian malam semalam.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang Aziz Affendy yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri (jalan ban sawah padi) lalu terseret.

"Akibat daripada kejadian itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala. Hasil bedah siasat di Hospital Kepala Batas mengesahkan punca kematian kedua-dua mangsa adalah kerana kecederaan teruk di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya meminta saksi awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.