Cabaran budaya baharu di Malaysia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KITA harus segera mengubah budaya dan rutin harian supaya menjadi lebih berdisiplin. Bermula 4 Mei 2020, ramai rakyat Malaysia akan memulakan kembali rutin yang selama ini terhenti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Kawalan pergerakan itu telah dilonggarkan bagi membenarkan rakyat keluar bekerja dan menghidupkan semula sektor ekonomi negara.

Sudah tentu keputusan kerajaan itu mengundang beberapa persoalan, menimbulkan kerisauan dan tidak kurang ada rakyat yang menarik nafas lega kerana aktiviti ekonomi sudah boleh berjalan semula.

Setakat 3 Mei 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan 6,298 kes positif Covid-19 dengan 105 kematian dilaporkan. Kita harus faham bahawa statistik itu diambil sewaktu PKP masih dilaksanakan dengan ketat.

Apabila fasa empat PKP berjalan, rakyat sudah dibenarkan untuk keluar bekerja. Maknanya, risiko wabak itu terdedah kepada orang ramai sudah tentu akan semakin meningkat.

Jika sebelum ini kita hanya duduk dan bekerja di rumah sahaja, sekarang ramai yang perlu keluar rumah untuk ke tempat kerja.

Bayangkan, sebilangan pekerja yang menggunakan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama khususnya Transit Aliran Ringan (LRT), bas awam dan monorel yang beroperasi di kawasan yang padat dengan pengguna.

Begitu juga apabila pekerja berada di dalam pejabat. Sudah pasti jumlah pekerja yang ramai itu amat membimbangkan ramai orang. Sama juga apabila waktu rehat tengah hari di mana ada sejumlah pekerja perlu keluar membeli makanan.

Artikel Berkaitan:

Sebab itulah, kelonggaran PKP itu perlu hadir sekali dengan budaya baharu. Kita harus mengubah cara hidup, rutin harian dan disiplin diri dalam tempoh yang genting sebegini.

Pertama, sentiasa jujur dan buang sikap mementingkan diri sendiri. Jika anda sakit, batuk dan selesema, jangan berkeras untuk pergi ke pejabat dan mendedahkan diri di tempat awam.

Sentiasa memakai topeng muka dan pergi berjumpa doktor. Ini paling penting. Mungkin bagi anda, ia bukan simptom yang teruk tetapi ia berisiko untuk menjangkiti orang ramai di sekeliling anda.

Kedua, jadilah individu yang lebih proaktif dan berfikir untuk orang ramai. Contohnya, bawalah bekal makanan untuk makan tengah hari di pejabat. Ini dapat mengelakkan anda keluar pejabat dan pergi ke kedai makan secara terbuka. Lebih selamat begini.

Jangan memotong barisan di stesen LRT dan bas. Patuhi jarak yang selamat. Langkah kecil sebegini dapat membaiki situasi semasa.

Saya juga ingin berpesan kepada pihak majikan. Jika urusan syarikat masih boleh dilakukan di rumah masing-masing, saya kira tidak perlulah untuk diwajibkan pekerja untuk hadir ke syarikat.

Urusan mesyuarat, semakan kehadiran, jadual kerja dan sebagainya masih boleh dilakukan di atas talian. Ini lebih baik.

Tetapi, jika perniagaan anda tidak boleh tidak harus ke pejabat, sediakanlah topeng muka dan persekitaran yang baik kepada pekerja. Bukan sahaja pekerja akan rasa lebih selamat, tetapi kualiti kerja dan kesihatan semua akan terjaga.

Saya percaya inilah cabaran baharu apabila negara berhadapan dengan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Kita harus segera mengubah budaya dan rutin harian supaya menjadi lebih berdisiplin, sensitif dengan persekitaran dan peka dengan status terkini.

Sudah tentu ia bukan perkara yang mudah, tetapi inilah hakikat yang harus kita telan dan hadam. Benar, negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi.

Tetapi, ia tidak boleh menafikan bahawa kita harus mengutamakan kesihatan dan keselamatan orang ramai. Jika semua orang sama-sama berganding bahu, negara akan pulih dalam masa terdekat.

* Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ialah Ahli Parlimen Muar dan Ketua Armada Bersatu. Beliau juga merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan